KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pasukan 10 Komeni Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Para telah melaksanakan Eksesais Stallion Swing and Stallion Hook Siri 1/2023 bagi menguji tahap keupayaan anggota dalam melaksanakan operasi Bantuan Logistik Udara.
Pelaksanaan eksesais ini adalah dibawah Eksesais Air Mobility Tactical Operation (AMTOP) TUDM Siri 1/23 yang bermula dari 18 hingga 28 Februari lalu.
Markas 10 Briged (Bgd) Para menjelaskan, latihan yang berkonsepkan Bantuan Logistik Udara ini melibatkan Platun Hantaran Udara 10 Kom KPD (Para) yang turut melibatkan wakil dari Pusat Latihan Kor Perkhidmatan DiRaja (PULMAT) sebagai pemerhati dan penilai sepanjang eksesais ini dilaksanakan.
“Eksesais ini telah dilaksanakan di 3 buah lokasi utama iaitu di Pangkalan Udara Subang sebagai Main Operating Base (MOB), PU Gong Kedak sebagai Forward Operating Base (FOB) dan Zon Gugur Nangka sebagai Drop Zone (DZ),
“Latihan Bantuan Logistik Udara ini dilaksanakan menggunakan 2 kaedah iaitu Guguran Udara Halaju Rendah (Low Velocity Airdrop – LVAD) dan Guguran Udara Halaju Tinggi (High Velocity Airdrop – HVAD) menggunakan pesawat C 130H manakala latihan Anduh Bawah (Underslung) adalah menggunakan pesawat EC 725,
“Sepanjang latihan ini semua krew Hantaran Udara telah melaksanakan kelas teori, latihan praktikal, penyediaan muatan, pemeriksaan (Joint Airdrop Inspection), Guguran Udara, Anduh Bawah serta Teknik, Taktik dan Prosedur (TTP) bagi Drop Zone Recovery Team (DZRT),” jelas pihak 10 Bgd Para menerusi hantaran di media sosialnya pada Khamis.
Dalam masa yang sama, PULMAT juga telah melaksanakan ujian peningkatan kepakaran terhadap seorang pegawai dan 2 anggota yang berkelayakan Joint Airdrop Inspector (JAI) dan Final Inspector dari pasukan 10 Kom KPD (Para).
Tambah pihak 10 Bgd Para, secara keseluruhannya sebanyak 1 x Heavy Equipment (HE), 6 x Container Delivery System (CDS) dan 2 x Combat Rubber Raiding Craft telah berjaya digugurkan dengan selamat.
“Kesemua muatan udara ini juga telah dilaksanakan Proses Pembersihan oleh DZRT mengikut Teknik, Taktik dan Prosedur (TTP) yang telah ditetapkan,” jelas hantaran itu lagi. -airtimes.my