Setiap kali isu buli tular di institusi mahupun sekolah berasrama penuh, masyarakat pantas mengaitkannya dengan suasana tertutup, budaya hierarki serta kawalan autoriti yang ketat. Tragedi yang menimpa Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain lapan tahun lalu masih menjadi ingatan pahit, manakala kes pelajar sekolah menengah seperti Zara Qairina membuktikan bahawa bahaya buli tidak pernah jauh daripada dunia asrama.
Malah, Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) dan Royal Military College (RMC) juga tidak terkecuali daripada kontroversi, apabila timbul dakwaan wujud amalan ‘ragging’ yang keterlaluan serta hukuman fizikal yang dianggap melampau. Rentetan dakwaan demi dakwaan ini hanya menambah beban persepsi negatif terhadap institusi berasaskan ketenteraan, sekali gus mencetuskan persoalan tentang batas antara latihan disiplin dengan penderaan.
Maka, apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula Januari 2025, tumpuan bukan sahaja banyak pihak terarah kepada modul latihan baharu, jumlah pelatih dan kewajipan menghadirinya. Sebaliknya, persoalan lama kembali berlegar. Adakah kem kali ini benar-benar bebas daripada bayangan buli, terutama melibatkan institusi beruniform tanpa mengira generasi.
Rekod rasmi vs persepsi awam
Dalam jawapan bertulis di Parlimen baru-baru ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melalui menterinya menegaskan, sepanjang tempoh pelaksanaan PLKN 1.0 dan 2.0 (2004–2018), sebanyak 20 kes kematian telah direkodkan, namun kesemua berpunca daripada komplikasi kesihatan atau serangan jantung.
“Berdasarkan data pelaksanaan, PLKN 1.0 dan 2.0 sepanjang tempoh 2004 hingga 2018 telah melibatkan 894,256 orang peserta. Dalam tempoh tersebut, sejumlah 20 kes kematian telah direkodkan, di mana majoritinya berpunca daripada komplikasi kesihatan sedia ada atau serangan jantung secara mengejut. Hasil siasatan pihak berkuasa telah mengesahkan bahawa tiada kes kematian yang disebabkan oleh kecuaian semasa latihan atau insiden buli,” tegas kementerian.
Secara rasmi, angka itu menafikan kaitan antara PLKN dan buli. Namun, mengapa isu ini masih kekal sebagai kebimbangan utama masyarakat setiap kali nama PLKN disebut?
Ini kerana, buli bukan sekadar isu statistik. Tidak semua pengalaman negatif berjaya direkodkan, malah sebahagian besar mungkin berakhir sebagai “dark figure of bullying”, iaitu kes yang tidak dilaporkan, sama ada kerana dianggap sebahagian daripada “disiplin ketenteraan” mahupun kerana pelatih takut menimbulkan masalah.
Pengalaman yang tidak dilaporkan ini kekal hidup melalui cerita bekas pelatih, yang kemudian dikongsi semula di media sosial. Dari situ lahirlah persepsi umum bahawa kem beruniform sinonim dengan buli, meskipun data rasmi menafikannya. Bagi masyarakat, ketiadaan angka bukan bermaksud ketiadaan masalah.
Mengapa buli jadi isu sensitif dalam PLKN?
Antara faktor utama ialah persekitaran kem itu sendiri. Program ini melibatkan remaja berusia antara 17 hingga 27 tahun, kebanyakannya baru menamatkan alam persekolahan. Dalam usia yang masih mencari identiti dan kestabilan emosi, mereka lebih mudah terdedah kepada tekanan rakan sebaya serta pengaruh autoriti jurulatih.
Asrama tertutup yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) hanya di koridor dan lokasi terpilih turut meninggalkan banyak kawasan buta pengawasan. Ruang inilah yang membuka peluang kepada interaksi tanpa pemantauan, persis suasana sekolah berasrama penuh atau institusi beruniform lain yang sering dikaitkan dengan kes buli.
Di samping itu, struktur latihan yang berasaskan hierarki disiplin membawa dua sisi berbeza. Ia berpotensi membentuk kawalan diri dan semangat berpasukan, namun dalam keadaan tertentu boleh disalahgunakan menjadi alat dominasi. Sama ada dalam bentuk fizikal, verbal mahupun psikologi, hierarki ini mampu bertukar menjadi ruang penyalahgunaan kuasa.
Stigma legasi: Ingatan yang sukar padam
Dalam pada itu, walaupun PLKN pernah dihentikan beberapa tahun lalu sebelum diperkasa semula, naratif lama tidak pernah benar-benar terpadam. Kisah mengenai “hukuman berlebihan”, “arahan pelik” atau “dipermalukan di khalayak” terus berlegar dalam cerita bekas peserta. Meskipun tidak direkodkan sebagai kes buli dalam laporan rasmi, pengalaman itu cukup meninggalkan luka emosi dan trauma yang berpanjangan. Bagi sebahagian mereka, memori tersebut membentuk sempadan halus antara latihan disiplin dengan penderaan terselindung.
Kehadiran media sosial pula menjadikan pengalaman peribadi bertukar menjadi memori kolektif. Satu cerita yang dikongsi, disambut dengan puluhan kisah lain, membina persepsi menyeluruh bahawa PLKN tidak pernah sunyi daripada isu buli. Naratif ini bergerak lebih pantas daripada laporan rasmi, dan lebih melekat kerana datang daripada suara individu yang dianggap “benar” dan autentik.
Maka, walaupun pihak bertanggungjawab menindakkan dakwaan berkenaan, himpunan cerita yang pelbagai menjadikannya legasi stigma yang sukar dipadamkan daripada ingatan masyarakat.
Hakikatnya, stigma itu bukan sahaja berpunca daripada insiden tertentu, sebaliknya daripada gambaran umum tentang suasana asrama dengan sistem yang ketat serta hierarki ketenteraan yang mendasari PLKN. Justeru, walaupun program ini cuba diolah semula dengan jenama baharu, bayangan silam sentiasa mengekori. Ia ibarat beban sejarah yang menjadi cabaran terbesar untuk PLKN 3.0 meyakinkan masyarakat bahawa “trauma lama” tidak akan berulang.
PLKN 3.0: Ubah persepsi atau ulang naratif lama?
Kerajaan kini berdepan cabaran besar untuk memastikan PLKN 3.0 bukan sekadar selamat dari segi fizikal, tetapi juga diyakini dari sudut psikologi. Terdahulu, MINDEF dalam jawapan Parlimen menyebut beberapa langkah baharu termasuk kaunseling bersama keluarga sekiranya pelatih gagal hadir, pemantauan kesihatan yang lebih ketat, serta penekanan kepada disiplin positif berbanding hukuman semata-mata.
Namun, jaminan dasar belum tentu memadai untuk mengikis trauma legasi. Apa yang lebih dituntut masyarakat ialah mekanisme aduan bebas, pengawasan luar terhadap kem, dan keberanian kerajaan mengakui sebarang kes buli sekiranya ia berlaku, walaupun tanpa melibatkan kematian.
Justeru, tidak hairan mengapa setiap kali PLKN disebut, isu buli terus menghantui ingatan masyarakat. Fenomena ini tidak jauh berbeza dengan kes buli di sekolah atau institusi berasrama penuh yang pernah tular. Persamaannya jelas, suasana tertutup, budaya hierarki serta kecenderungan menjadikan hukuman atau dominasi sebagai sebahagian daripada “disiplin”.
Maka, meskipun rekod rasmi menunjukkan tiada kematian akibat buli di PLKN, stigma tetap hidup kerana ia berpaut pada memori kolektif dan realiti sosial yang diakui masyarakat. Statistik mungkin mampu membersihkan rekod atas kertas, namun stigma hanya akan terhapus melalui tindakan konsisten, pencegahan telus dan keberanian untuk mengakui bahawa buli wujud. Sama ada di sekolah, asrama mahupun kem latihan.
Selagi jurang antara rekod rasmi dan persepsi awam tidak dijembatani, PLKN akan kekal sinonim dengan imej buli, walaupun ia dihidupkan semula dengan modul baharu. -airtimes.my
#Diskusi #Buli #PLKN #airtimes