Negara jiran Thailand mengukuhkan lagi kedudukannya dalam eskport kelengkapan pertahanan apabila berjaya menjual kenderaan perisai 4×4 First Win kepada Bhutan.
Perolehan 10 buah kenderaan ini adalah tambahan daripada pembelian terdahulu iaitu sebanyak 15 buah tiga tahun lalu.
Kontrak ini ditandatangani antara Thai Defence Industry Co. Ltd. iaitu syarikat usaha sama antara Chaiseri Metal & Rubber Co. Ltd. dan Defense Technology Institute.
Bhutan memperoleh kenderaan 4×4 First Win bagi kegunaan pasukan tentera pengamannya yang bertugas di bawah misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Republik Afrika Tengah (MINUSCA).
Secara keseluruhan negara itu mempunyai kira-kira 211 tentera pengaman PBB termasuk wanita
Perolehan dari Bhutan ini menyaksikan negara kecil Asia Selatan itu menjadi pengguna keempat 4×4 First Win selepas Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Walaupun di atas kertas pasaran eksport kenderaan perisai buatan Thailand ini kecil tetapi daripada aspek lain ia berjaya mendapatkan keyakinan pembeli.
Jika di Malaysia, Chaiseri boleh dikatakan setaraf dengan DRB Hicom Defence Technology Sdn. Bhd. (DEFTECH) selaku peneraju industri automotif pertahanan negara.
Malah, pembelian 20 buah kenderaan 4×4 First Win oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) pada tahun 2015 menyaksikan Chaiseri dan DEFTECH membangunkan projek usahasama.
Kenderaan First Win versi Malaysia iaitu Lipan Bara telah dipasang di kilang DEFTECH.
Lipan Bara adalah projek usaha sama DEFTECH dan Chaiseri dengan berkongsi hak harta intelek 50:50 antara kedua-dua syarikat.
Perolehan Lipan Bara semasa itu dilihat sebagai pendekatan baharu Mindef untuk membekalkan kereta perisai bermobiliti tinggi (HMAV) kepada Tentera Darat.
Lipan Bara dilancarkan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016.
DEFTECH dalam kenyataan pada masa itu juga membayangkan potensi besar Lipan Bara untuk dieksport ke negara ASEAN dan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Namun, tiada lagi pembelian tambahan kenderaan ini dibuat selepas itu walaupun giat diuar-uarkan bahawa Lipan Bara hendak dibangunkan sebagai projek perintis usahawan antara syarikat pertahanan ASEAN.
Jika melihat pada laman web DEFTECH, Lipan Bara masih terpapar sebagai antara kenderaan bagi kegunaan pertahanan darat yang ditawarkan syarikat tersebut.
Selain pasaran ATM, Lipan Bara sebagai kenderaan HMAV mempunyai potensi sekiranya digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), misalnya Skuadron Perisai.
Penugasan bagi ketenteraman awam termasuk rondaan di sempadan adalah sesuai untuk kenderaan tersebut.
Bagaimana pun, sejauh mana Lipan Bara mempunyai potensi untuk mendapatkan lagi perolehan tambahan sama ada kepada Tentera Darat atau PDRM tidak diketahui. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Lipanbara #Chaiseri #FIrstWin #Thailand