[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=iNIEjvjmARU[/embedyt]
PEKAN, 13 Mac – Anggota pasukan khusus dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentara Nasional Indonesia (TNI) akan melaksanakan latihan bersama melawan pengganas.
Asisten Ketua Staf J3, Mejar Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim TUDM menegaskan, latihan ini dilaksanakan secara bersama oleh anggota pasukan khusus dari kedua-dua negara.
“Latihan bersama pada kali ini sekali lagi bertemakan anti terrorisme yang amat bertepatan sekali dengan situasi dan perkembangan rantau ini yang masih lagi menghadapi ancaman terrorisme yang berpaksikan idealisme ekstremis keagamaan,
“Justeru itu, latihan ini dapat kita jadikan sebagai satu platform latihan terbaik bagi kedua-dua angkatan tentera dalam meningkat profesionalisme dan keupayaan untuk diaplikasikan dalam menangani situasi sebenar,” katanya semasa menyempurnakan Upacara Pembukaan Eksesais Latgabma Malindo Darsasa 11AB/2023.
Latihan Gabungan Bersama Malaysia-Indonesia Darat Samudera dan Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) merupakan latihan bilateral yang diadakan secara bergilir antara ATM dan TNI. Eksesais kali ini adalah bertemakan anti pengganas.
Latihan ini melibatkan anggota daripada pasukan Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Tentera Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM serta TNI.
Dalam pada itu, Nur Hafis menyatakan eksesais ini akan merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia.
“Pastinya, latihan seumpama ini akan mengeratkan lagi hubungan antara dua negara serantau atau lebih tepat sebagai dua negara bersaudara yang memiliki kesefahaman yang sangat mendalam.
Dengan berbekalkan semangat kebersamaan LATGABMA, mudah-mudahan ikatan keakraban dan ukhuwah yang terjalin selama ini akan berkekalan serta diperkukuhkan lagi pada masa hadapan,” katanya.
Upcara pembukaan latihan bersama ini turut dihadiri oleh Asisten Operasi Panglima TNI, Mejar Jeneral Agus Suhardi; Panglima 21 Grup Gerak Khas, Mejar Jeneral Nubli Hashim; dan Mejar Jeneral Joko Purwo Putranto, Komandan Komando Pasukan Khusus.
Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 611 orang yang terdiri dari 461 anggota dari Malaysia dan 150 anggota tentera dari Indonesia akan terlibat dalam latihan ini.
Penglibatan aset untuk eksesais pada kali ini adalah melibatkan 4 buah kenderaan Gempita 8 x 8; 6 buah RIV TDM; sebuah Ambulan Medan KKD; 2 buah Ambulan Domestik KKD; 2 buah bot tempur SOC TDM; 2 buah RHIB TLDM; 2 buah Helicopter Agusta A109 TDM dan 2 buah Helikopter EC 725 AP dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurutnya, eksesais yang dilaksanakan dalam 4 fasa ini adalah untuk mewujudkan strategi cegah rintang dan strategi tindakan terhadap ancaman dari kumpulan yang ingin mengancam kedaulatan MALINDO.
“Ia juga bagi mewujudkan interoperability (kemampuan kerjasama) dalam kesiapsiagaan ATM dan TNI untuk menghadapi ancaman terrorist,” jelas MK AB. -airtimes.my
Galeri gambar: