Home Pertahanan dan Keselamatan Industri pertahanan mampu jana ekonomi negara

Industri pertahanan mampu jana ekonomi negara

by Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Industri pertahanan negara mampu menjana ekonomi negara bagi jangka panjang menerusi skopnya yang luas meliputi bidang aeroangkasa, maritim, persenjataan, automotif dan barangan guna sama kententeraan.

Mengambil kira potensi itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari menyeru warga Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membudayakan inovasi dan menjalin kerjasama dengan pemain industri agar dapat mengembangkan lagi projek inovasi kementerian.

“Saya percaya produk-produk ini (projek inovasi kementerian) berupaya memanfaatkan industri pertahanan tempatan yang berpotensi menjadi pemangkin ekonomi bagi tempoh jangka panjang.

“Kerjasama dengan pemain industri luar juga akan membuka banyak peluang pekerjaan dan membawa lebih banyak kepakaran dalam industri pertahanan negara,” katanya ketika berucap menutup Minggu Inovasi MINDEF 2023 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Pada masa sama, Adly turut menyarankan petugas MINDEF dan ATM untuk sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan dengan menggunakan pendekatan dan idea lebih berinovasi agar harapan dan permintaan rakyat serta pihak berkepentingan untuk mendapatkan perkhidmatan lebih berkualiti mampu dipenuhi.

“Oleh kerana itulah, saya yakin program ini (Minggu Inovasi MINDEF 2023) merupakan platform untuk warga MINDEF dan ATM melestarikan budaya inovasi sebagai teras penyampaian perkhidmatan.

“Dengan adanya program ini, inovasi akan sentiasa dipupuk dalam kalangan warga kerja dan menjadikannya budaya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan MINDEF dan ATM,” katanya.

Bertemakan Inovasi Pemangkin Transformasi, Kualiti dan Kreativiti, Minggu Inovasi MINDEF 2023 yang bermula 13 Jan lepas, disertai 614 peserta, pengadil, pempamer daripada empat cabang perkhidmatan ATM, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) serta Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI). – Bernama

Related Articles

Leave a Reply