KUALA LUMPUR, 31 Okt – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang ditetapkan pada 5 Disember 2020 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa tidak dapat dielakkan.
Muhyiddin menzahirkan kebimbingan dengan trend peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak pada masa ini dan membayangkan kesukaran untuk mengawal jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.
“Menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen,
“Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri,” katanya pada perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19, hari ini.
Menurut Muhyiddin, sepatutnya pilihan raya tidak diadakan langsung pada masa ini, namun mengikut dalam Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya terpaksa diadakan.
“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga COVID-19 berakhir,
“Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hati lah. Jagalah diri saudara dan saudari semua. Patuhi prosedur standard operasi (SOP) dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan,” ujarnya.
Beliau berkata dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya setiap hari, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan ramai petugas pilihanraya menyatakan rasa bimbang untuk bertugas di PRK Batu Sapi nanti kerana takut terkena jangkitan COVID-19.
“Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Noor Hisham Abdullah juga melaporkan jika PRN Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang akan keadaan di kawasan-kawasan pedalaman negeri
Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap apakah akan mampu menampung peningkatan kes-kes positif COVID-19 yang berkemungkinan naik secara mendadak selepas pilihan raya,
“Keupayaan frontliners dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi negeri Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses,” katanya.
Katanya, ini tidak mengambil kira kos tambahan yang akan ditanggung oleh kerajaan dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkita COVID-19 berlaku dengan mendadak selepas pilihan raya.
“Di negeri Sabah sahaja dianggarkan kerajaan terpaksa membelanjakan setengah bilion ringgit jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan,
“Ini pandangan yang diberikan oleh pihak yang pakar dalam pengurusan pilihan raya dan kesihatan di negara kita. Saya mestilah mendengar pandangan mereka,
“Ada pihak mencadangkan kepada saya supaya kita perketatkan SOP pilihan raya. Ya, boleh. Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak,
“Cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi oleh SPR untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihan raya diadakan,” tegasnya.
Tambahnya, antara kekangan untuk menghalang pergerakan pengundi di kawasan merah untuk keluar mengundi kerana mereka ada hak untuk mengundi di sisi perlembagaan.
“Batu Sapi adalah kawasan merah. Kita minta penduduk Batu Sapi supaya duduk di rumah. Tetapi oleh kerana ada pilihan raya mereka terpaksa keluar beramai-ramai untuk mengundi,
“Mungkin peratusan keluar mengundi akan menjadi rendah, tetapi itulah demokrasi,” katanya.
Ujarnya, jika pilihan raya terpaksa diadakan, kita tidak boleh menghalang penduduk di Kuching yang mengundi di Samarahan, Sri Aman, Miri, Bintulu dan lain daerah untuk keluar mengundi.
“Begitu juga pengundi Sarawak yang tinggal di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan lain-lain negeri yang mencatatkan kes-kes COVID-19 yang tinggi,
“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang mereka pulang mengundi kerana itu adalah hak mereka di bawah Perlembagaan,” tegas Muhyiddin.