KUALA LUMPUR, 19 Sept – Salah seorang mangsa yang terselamat dalam kejadian keracunan karbon monoksida di Butterworth, Pulau Pinang diberikan rawatan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju.
Mangsa Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, adalah salah seorang yang terselamat, manakala tiga lagi rakannya maut setelah mengalami keracunan karbon monoksida.
Bahagian Hal Ehwal Awam J7 Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata mangsa telah dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ke HAT Tuanku Mizan pada tarikh kejadian untuk diberi rawatan HBOT di Unit Rawatan Hiperbarik.
“Pesakit tersebut masih dipantau dan diberi rawatan rapi dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan beliau yang belum menunjukkan perkembangan positif,
“ATM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan situasi terbaik buat mangsa dan semoga keluarga beliau diberi semangat dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Shafee Abd Samad berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 pagi, dan tiga yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor Adilah Mohd Safwan, manakala yang sedang dirawat adalah Nor Aqilah, yang merupakan kembar kepada Nor Adilah.
Kesemua mereka yang berusia 21 tahun telah pergi ke Pulau Jerejak semasa cuti Hari Malaysia, dan difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan. – airtimes.my