KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa membidas tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat sumpah laknat di Masjid Kampung Baru, semalam.
Beliau berkata, tindakan Najib itu adalah usaha mempermainkan sentimen agama di kalangan penyokongnya sahaja ketika Mahkamah Persekutuan sedang bersidang bagi membicarakan beliau.
“Tindakan ini dibuat selepas pelbagai usaha untuk menangguhkan perbicaraan beliau ditangguhkan, namun gagal,
“Lebih dikesali lagi apabila beliau mengumpulkan penyokong beliau bersama untuk menyaksikan sumpahnya itu termasuk seorang penceramah agama Ustaz Kazim Alias,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah berkata, tidak ada sumpah mubahalah dalam kes jenayah kecuali untuk kes li’an sahaja. Mufti dan Menteri Agama yang ada perlu memberikan teguran dalam isu ini.
“Saya bimbang dengan pendekatan yang diambil oleh Najib dan penyokongnya. Apakah ini wajah Melayu yang kita inginkan atau Melayu yang lebih bermaruah dan memegang nilai-nilai agama dengan sebaik-baiknya bukan Melayu yang boleh dimainkan emosinya dengan sentimen perkauman serta agama yang sempit,
“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada semua rakyat negara ini, buat masa sekarang berilah kepercayaan kepada Mahkamah Persekutuan pimpinan Ketua Hakim Negara untuk membuat keputusan dengan adil dan berdasarkan bukti dan saksi dalam perbicaraan,
“Jika Najib didapati tidak bersalah, bebaskanlah dia dan jika dia didapati bersalah hukumlah dia seadil-adilnya,’ ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 berhubung hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib.
Najib telah didapati bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di Mahkamah Persekutuan sekarang ini dijadualkan berlangsung selama 9 hari, dari 15 Ogos hingga 19 Ogos dan akan disambung semula selepas hujung minggu ini dari 23 Ogos hingga 26 Ogos. – airtimes.my