Home Semasa PKPD asrama Top Glove dilanjutkan 14 hari lagi

PKPD asrama Top Glove dilanjutkan 14 hari lagi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove Corp Bhd di Meru, Klang dilanjutkan 14 hari lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata, perintah kawalan yang dijadulakan tamat pada hari ini akan dilanjutkan sehingga 14 Disember 2020.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 5,805 saringan terhadap pekerja kilang ini dan merekodkan sebanyak 3,406 kes positif COVID-19,

“Penilaian risiko oleh KKM juga mendapati kadar positif di kawasan ini masih tinggi di mana masih terdapat kes positif baharu yang dikesan di kalangan pekerja melalui ujian saringan kedua,

“Selain itu, KKM mendapati kes-kes negatif dalam kluster ini masih berisiko dan ujian saringan kedua sedang diteruskan,

“Keputusan itu dibuat atas nasihat KKM setelah mendapati masih terdapat jangkitan COVID-19 melibatkan pekerja syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang media khas mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan, pada hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, semua pekerja kilang diwajibkan untuk menjalani saringan COVID-19 yang dijalankan oleh klinik swasta serta dipantau dan diselia oleh Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Selangor.

“Semua pekerja yang telah disaring dan disahkan negatif akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) selama 14 hari hari, dan akan menjalani saringan ulangan pada hari ke-13,

“Manakala, bagi pekerja bukan warganegara yang didapati positif COVID-19 akan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di asrama lelaki dan perempuan yang diwartakan di kawasan PKPD,

“Dan bagi pekerja warganegara yang disahkan positif ditempatkan di fasaliti kesihatan KKM,” tambahnya.

Tambahnya, kerajaan juga memutuskan bahawa kos saringan COVID-19, keperluan menyediakan serta menguruskan PKRC dan stesen kuarantin, makan minum, penginapan pekerja serta pengangkutan ke PKRC dan stesen kuarantin akan ditanggung oleh pihak majikan. –airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply