KUALA LUMPUR, 1 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan 42 misi penghantaran barangan perubatan dan kesihatan ke Sabah serta Sarawak dalam usaha memerangi wabak pandemik COVID-19 di Malaysia.
Misi penghantaran udara itu membawa 270 tan keperluan barangan perubatan dan kesihatan termasuk spesimen klinikal tambahan, bekalan darah, peralatan perlindung diri (PPE) termasuk penutup hidung dan mulut bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan di negeri berkenaan.
Sebelum ini, TUDM telah menghantar bekalan perubatan ke Sabah dan Sarawak dengan menggunakan pesawat pegangkut A400M dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara (PU), Subang.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Sri Ackbal Abdul Samad TUDM berkata pesawat Helikopter EC-725 juga telah melakukan 20 penerbangan yang membawa sebanyak 30 tan bekalan makanan ke Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat COVID-19.
“Kesemua misi penghantaran udara ini telah dapat dilaksanakan dengan lancar sekaligus membuktikan TUDM sentiasa bersedia, komited dan sentiasa dalam keadaan siap siaga sebilang masa,” jelas Ackbal dalam Perutusan Khas sempena Hari Ulang Tahun ke-62 TUDM.
Beliau berkata TUDM turut sama membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tugas sekatan jalanraya dan rondaan dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 ini. -airtimes.my