Home Pertahanan dan Keselamatan“Walaupun berbeza negara, kita berpegang kepada etos kepahlawanan yang sama”

“Walaupun berbeza negara, kita berpegang kepada etos kepahlawanan yang sama”

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, menegaskan kepentingan solidariti, tindakan bersepadu dan visi bersama ASEAN dalam ucapan pembukaan Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM-22) di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, walaupun kehadiran wakil-wakil angkatan tentera serantau yang hadir ke mesyuarat ACDFM-22 dari latar belakang yang berbeza, kesemuanya tetap dihubungkan dengan pegangan etos kepahlawanan yang sama iaitu “Duty – Honour – Sacrifice”.

“Kita melalui jalan yang sama, cabaran yang sama dan mempunyai impian yang sama,

“Oleh itu, kita perlu berkongsikan visi yang sama dan bersama-sama mencapai matlamat yang dikehendaki,

“Tambahan pula, kita dihubungkan dengan etos kepahlawanan yang sama iaitu Duty-Honour-Sacrifice,” katanya dalam ucapan aluan mesyuarat.

Mohd Nizam menyifatkan persidangan itu bukan sekadar ruang pertemuan, tetapi medan untuk membina kepercayaan, kejujuran dan hala tuju strategik serantau.

“Mesyuarat ini adalah komitmen untuk melindungi negara kita, mengukuhkan ikatan dan bersedia bersama menghadapi cabaran akan datang,” katanya

Panglima Angkatan Tentera turut mengajak negara anggota supaya berani mengambil langkah konkrit, termasuk mempertingkat interoperabiliti, memperluas latihan bersama serta memperkukuh rangka operasi bagi rondaan maritim, menangani keganasan, pertahanan siber dan bantuan bencana.

Menurutnya, isu-isu kompleks tidak boleh dielakkan, sebaliknya perlu ditangani secara terbuka dan penuh hormat demi mengekalkan kepercayaan serta kesediaan menghadapi masa depan.

Beliau menyeru agar kepimpinan pertahanan ASEAN dikenang bukan hanya kerana bertindak balas terhadap krisis, tetapi kerana berupaya mengantisipasi ancaman, membina jambatan kerjasama, dan mengejar tujuan bersama demi keamanan.

“Mari kita buktikan kepada dunia bahawa kita adalah alat perdamaian,” ujar beliau.

Dalam ucapan itu juga, beliau menekankan kepelbagaian Malaysia sebagai kekuatan yang menyatukan bangsa, bahasa dan agama, sekali gus mencerminkan semangat sama yang wujud dalam ASEAN.

Beliau mengimbas kata-kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak yang pernah menegaskan bahawa masa depan Asia Tenggara harus dibentuk oleh tangan rakyatnya sendiri.

Menurut Mohd Nizam, kenyataan itu masih relevan hingga ke hari ini. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #ATM

Related Articles

Leave a Reply