KUALA LUMPUR, 11 September – Persidangan Panglima Angkatan Tentera ASEAN ke-22 (ACDFM-22) yang berlangsung di Kuala Lumpur menzahirkan kenyataan bersama yang menegaskan komitmen untuk perkukuh kerjasama ketenteraan serta mempertahankan keamanan dan kestabilan rantau ini.
Mesyuarat yang diadakan hari ini mengangkat tema “ASEAN Unity for Security and Prosperity”, dengan memberi tumpuan kepada kerjasama menyeluruh dan strategik untuk memastikan rakyat rantau ini hidup dalam suasana aman, makmur dan selamat.
Kenyataan bersama itu menegaskan sokongan terhadap Piagam ASEAN, Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) serta undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982, dalam menjamin kedaulatan wilayah dan prinsip tidak campur tangan.
Ia turut menekankan keperluan menghormati kebebasan navigasi di Laut China Selatan serta usaha awal menyelesaikan Code of Conduct (CoC) secara efektif dan substantif.
ACDFM-22 turut memperkukuh peranan diplomasi pertahanan sebagai asas membina keyakinan dan mencegah konflik. Antara bidang yang dipersetujui untuk diperkasakanialah operasi rondaan maritim, keselamatan siber, menangani keganasan, bantuan bencana kemanusiaan serta perubatan ketenteraan.
Selain itu, kesemua 10 wakil angkatan tentera dari negaraanggota ASEAN juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam latihan bersama, perkongsian maklumat, serta pembangunan kapasiti angkatan pertahanan berkeupayaan terhad.
Kenyataan itu turut mengalu-alukan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang menerima Timor Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 pada Sidang Kemuncak akan datang. Langkah ini dianggap bukti keterangkuman ASEAN dan kesatuan serantau.
Selain itu, kesemua 10 pemimpin tinggi angkatan tentera negara serantau turut bersetuju untuk melaksanakan Pelan Aktiviti Ketenteraan Dua Tahun ASEAN 2025–2027 yang bakal dipantau secara berterusan untuk memastikan hasil yang nyata. Persidangan juga menerima pakai cadangan mesyuarat ketenteraan ASEAN lain, termasuk AMIM, AMOM dan AMICLC, sebagai garis panduan bersama bagi memperkukuh kesefahaman.
Mesyuarat yang dipengerusikan Malaysia ini turut disertai ketua angkatan tentera dari semua negara ASEAN. Pada akhir persidangan, Malaysia menyerahkan kepengerusian ACDFM-23 kepada Filipina, yang bakal menjadi tuan rumah pada 2026. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #ASEAN