KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Pelaksanaan transformasi kekuatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan negara memerlukan sokongan bajet yang berterusan dan progresif.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam penyataan jawapan lisan di Dewan Negara.
Menurut beliau, hala tuju transformasi ATM sebagai Angkatan Masa Hadapan menjelang 2030 telah dipacu oleh Kementerian Pertahanan Malaysia melalui Kertas Putih Pertahanan (KPP).
“Transformasi ATM ini bertujuan untuk memastikan kesiapsiagaan negara sentiasa terpelihara, terutama dalam menghadapi ancaman yang tidak dijangka,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai langkah pembangunan dan pemodenan ATM yang merangkumi peningkatan keupayaan operasi dan pembangunan teknologi ketenteraan.
“ATM telah menyediakan dokumen strategik seperti Strategi Ketenteraan Negara 2.0 (SKN 2.0) bagi memandu proses transformasi ini,” ujar beliau.
Menteri Pertahanan menambah, setiap cabang perkhidmatan ATM juga telah menyediakan pelan pembangunan keupayaan masing-masing. Tentera Darat Malaysia (TDM) sedang melaksanakan Army4NextG, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang melaksanakan Pelan Transformasi 15-to-5 manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang melaksanakan RMAF CAP55.
‘Bagi memastikan pelaksanaan transformasi ini berjalan lancar, sokongan bajet yang berterusan dan progresif adalah kritikal,
“Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bajet pertahanan yang mencukupi bagi memodenkan ATM agar ia kekal relevan, tangkas, dan berkeupayaan dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks,” tegasnya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #pertahanan #DewanNegara