Home SemasaMalaysia negara pertama beli radio HF XL dari Thales

Malaysia negara pertama beli radio HF XL dari Thales

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

LONDON, 11 Sept – Malaysia muncul sebagai pelanggan antarabangsa pertama yang mengguna pakai sistem radio gelombang tinggi generasi baharu, HF XL, selepas menandatangani kontrak bersama syarikat pertahanan Perancis, Thales, pada hari pertama pameran DSEI 2025 di London.

Kontrak berkenaan, yang dimeterai dengan kerjasama syarikat tempatan Advanced Defence Systems (ADS) Sdn. Bhd., merangkumi lebih 100 unit lengkap stesen radio HF XL TRC 3900 yang dipasang pada kenderaan. Pakej tersebut termasuk radio, penguat isyarat dan antena.

Menurut Thales, rangkaian lengkap TRC 3900 turut merangkumi penyelesaian 20W manpack untuk keperluan operasi jarak jauh sehingga 1,000 kilometer, selain konfigurasi 400W dan 1kW yang membolehkan pos komando berhubung dengan markas serta unit di kawasan operasi sejauh 5,000 kilometer. Semua sistem ini dijamin serasi sepenuhnya dengan radio sedia ada dalam inventori Tentera Darat Malaysia.

Sistem HF XL, yang diperkenalkan di Eurosatory 2024, menawarkan kadar penghantaran data sehingga 10 kali ganda lebih tinggi berbanding sistem HF sedia ada. Ia direka untuk memastikan komunikasi jarak jauh yang teguh di persekitaran mencabar, sekali gus sesuai dengan keadaan geografi dan iklim tropika Malaysia. Selain komunikasi selamat dan kos operasi rendah, sistem ini turut berupaya memindahkan fail data besar termasuk imej serta penstriman video, sambil mengekalkan ketahanan daripada gangguan isyarat.

Pengarah Negara Thales Malaysia, Florian Riou, menyatakan bahawa kerjasama ini melambangkan komitmen Thales untuk memperkukuh keupayaan strategik Malaysia melalui pemindahan ilmu dan kerjasama rapat dengan rakan tempatan.

“Kontrak bersama ADS adalah bukti komitmen Thales untuk bekerjasama dengan pemain tempatan bagi menyokong aspirasi pertahanan jangka panjang Malaysia,

“Kami berbangga dapat meneruskan legasi sebagai penyedia komunikasi taktikal utama kepada Tentera Darat Malaysia,” katanya.

Thales, yang mempunyai kehadiran hampir 50 tahun di Malaysia, kini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai rakan utama dalam komunikasi pertahanan dengan lebih 10,000 unit radio telah dihantar kepada Tentera Darat sejak dua dekad lalu.-airtimes.my

#AirTimes #PertahananKeselamatan #HFXL #Thales #DSEI #TDM

Related Articles

Leave a Reply