KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Laut China Selatan dikenal pasti sebagai antara cabaran keselamatan yang dihadapi Malaysia ketika ini, berikutan peningkatan ketegangan di perairan strategik itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keadaan tersebut meningkatkan risiko pertembungan ketenteraan yang tidak dirancang, selain diburukkan lagi dengan kehadiran kapal perang kuasa besar serta operasi pesawat tentera yang semakin aktif.
“Ketegangan di Laut China Selatan meningkatkan risiko pertembungan ketenteraan yang tidak diingini. Kehadiran kapal perang kuasa besar serta peningkatan operasi pesawat tentera boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya semasa melancarkan Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di Royale Chulan, di sini.
Beliau berkata, penggunaan taktik kelabu atau grey-zone tactics merupakan cabaran yang semakin ketara, termasuk aktiviti penyelidikan hidrografi yang dilindungi kapal-kapal pengawal pantai asing di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, yang jelas menimbulkan provokasi serta mengancam kedaulatan negara.
Menurut Mohamed Khaled, Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa sebarang pertikaian maritim mesti diselesaikan melalui saluran diplomatik, sejajar dengan United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) 1982.
“Malaysia akan terus aktif melalui ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) bagi merangka Code of Conduct (COC) yang dapat memupuk keyakinan bersama serta mengurangkan risiko konflik bersenjata,” ujarnya. -airtimes.my
#LCS #ASEAN #Pertahanan #Malaysia #Airtimes