KUALA LUMPUR, 11 SEPT – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih berdepan tahap kesiagaan aset yang rendah walaupun memiliki kapasiti dan aset yang signifikan.
Beliau berkata perkara itu merupakan salah satu dapatan utama daripada Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan yang dilancarkan di Royale Chulan, hari ini.
Menurutnya, kesiagaan semasa aset ATM masih belum memadai untuk menangani ancaman moden yang semakin kompleks seiring dengan perkembangan sistem persenjataan global.
“Pertahanan negara boleh digugat sekiranya pemodenan angkatan tentera tidak bergerak seiring dengan perubahan teknologi persenjataan. Justeru, kita sedang melaksanakan perolehan baharu untuk merapatkan jurang kesiagaan aset-aset ATM,” katanya.
Antara perolehan baharu tersebut termasuk pesawat tempur ringan FA-50, pesawat rondaan maritim ATR-72 MPA, sistem udara tanpa pemandu jarak sederhana ANKA-S, kapal misi pesisir pantai Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 serta Littoral Combat Ship (LCS). Semua aset ini dijangka diterima secara berperingkat antara tahun 2026 hingga 2030.
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa pergantungan tinggi terhadap sumber luar dari segi aset, penyelenggaraan dan logistik bukan sahaja meningkatkan kos, malah mendedahkan sektor pertahanan kepada risiko gangguan rantaian bekalan akibat konflik antarabangsa.
“Pemerkasaan kesiagaan aset juga menuntut pembangunan industri pertahanan tempatan. Ini termasuk keupayaan pengeluaran komponen dan penyelenggaraan secara domestik,” ujarnya.
Beliau berkata, langkah ini bukan sahaja memperkukuh kemandirian negara dalam bidang pertahanan, malah memastikan ATM bersedia menghadapi cabaran keselamatan baharu secara lebih berkesan.– airtimes.my
#AirTimes #Semasa #FA50 #ATR72MPA #ANKAS #LMSBatch2 #LCS #ATM #MINDEF