Home SemasaSoal kepentingan Malaysia dan kedaulatan maritim bakal dijawab di Parlimen

Soal kepentingan Malaysia dan kedaulatan maritim bakal dijawab di Parlimen

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 22 JULAI – Persidangan Dewan Rakyat hari ini menyaksikan beberapa soalan penting  melibatkan isu antarabangsa yang memberi kesan langsung kepada kepentingan strategik Malaysia.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan meminta penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah. Beliau turut menekankan kepentingan langkah bersepadu bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara dalam persekitaran global yang tidak menentu.

Dalam soalan berasingan kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengemukakan persoalan mengenai keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002 berhubung kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan. Beliau ingin mengetahui bagaimana keputusan itu boleh mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia, termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z) di Laut Sulawesi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengajukan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkaitan langkah kerajaan dalam menangani isu tarif Amerika Syarikat. Beliau turut meminta penjelasan mengenai penglibatan kerajaan negeri dalam menyelaras respons pelaburan, penstrukturan semula insentif, serta sokongan kepada industri tempatan dalam menghadapi cabaran baharu landskap perdagangan global.

Ketiga-tiga soalan tersebut dijangka dijawab oleh kementerian berkaitan dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) dan Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Lisan hari ini. – airtimes.my

#AirTimes #malaysia #maritim #daulat

Related Articles

Leave a Reply