KUALA LUMPUR, 21 Julai –Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan, sambil mempersoalkan keabsahan pengampunan yang diterimanya serta kepimpinannya yang didakwa penuh pembohongan dan amalan nepotisme.
Dalam kenyataan lantang yang dikeluarkan, bekas Perdana Menteri itu menyatakan bahawa suara rakyat semakin kuat menuntut pengunduran Anwar, khususnya ketika perhimpunan di Alor Setar baru-baru ini.
“Rakyat sudah seru supaya Anwar turun dari jawatan Perdana Menteri. Inilah laungan rakyat di Alor Setar,” katanya.
Menurut beliau, Anwar sebenarnya tidak dipilih secara langsung oleh rakyat untuk memegang jawatan Perdana Menteri kerana tewas dalam pilihan raya umum yang lalu.
Sebaliknya, kedudukannya diperoleh melalui gabungan parti-parti yang turut kalah tetapi berjaya membentuk kerajaan melalui sokongan majoriti.
Lebih mengejutkan, Tun Mahathir turut membangkitkan persoalan berhubung sah atau tidaknya pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar pada 2018, semasa beliau kembali memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua.
“Anwar diberi ampun semasa saya jadi Perdana Menteri kali ke-2. Saya lakukan seperti dinasihat. Saya percaya ianya betul pada masa itu. Tetapi sekarang ada yang timbul berkenaan kesahihan pengampunan Anwar ini,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat berhak untuk mengetahui kebenaran berhubung perkara itu dan menyeru agar kekeliruan diselesaikan secara adil.
Dr. Mahathir juga mendakwa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana didakwa sering berbohong dan gagal menunaikan janji reformasi yang dahulunya menjadi asas perjuangan politiknya.
“Dulu janji Reformasi. Kini sudah jadi bahan jenaka dan rakyat rata-rata kata sudah ‘dikencing’ dengan penipuan,” ujarnya.
Tambah beliau, apa yang berlaku kini adalah bukti nyata bahawa nepotisme dan kronisme diamalkan secara terang-terangan, walaupun Anwar sebelum ini menuduhnya melakukan perkara sama tanpa sebarang bukti.
“Bila ia amalkan, bukti jelas di depan mata,” tegas Dr. Mahathir.
Terdahulu, satu perhimpunan yang dinamakan ‘Himpunan Turun Anwar’ dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyatakan kesediaan untuk memudahkan perhimpunan tersebut dengan penugasan seramai 2,000 anggota polis bagi mengawal keadaan sepanjang ia berlangsung.-airtimes.my
#semasa #Anwar #tunMahathir #Malaysia #PerdanaMenteri #airtimes