MANILA, 30 Jan – Jurucakap tentera serantau, Leftenan Kolonel Gerry Besana memaklumkan dua maut dalam letupan bom tangan di sebuah masjid di selatan Filipina awal pagi hari ini, beberapa hari selepas serangan maut di sebuah gereja Katolik berlaku.
“Sebutir bom tangan dilempar ke dalam masjid, membunuh dua jemaah dan mencederakan empat yang lain,” kata Leftenan Kolonel Gerry Besana ketika mengulas mengenai serangan di Zamboanga itu.
Beliau berkata, letupan berkenaan berlaku ketika kesemua mangsa sedang tidur di dalam masjid yang terletak dalam penempatan majoriti Islam Filipina, iaitu kepulauan Jolo.
Besana memberitahu, masih terlalu awal untuk memutuskan jika serangan ke atas masjid itu adalah perbuatan balas dendam pihak tertentu susulan letupan gereja yang meragut 21 nyawa Ahad lalu ketika penganut agama Kristian sedang menjalani upacara keagamaan di kepulauan Jolo.