PUTRAJAYA, 5 Mei – Kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, MKTB berperanan untuk menentukan dasar dan strategi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
“Ini termasuk menetapkan sasaran, indikator makro dan kunci indeks prestasi (KPI) bagi sektor-sektor penting dalam pembangunan negara yang akan dirangka secara inklusif dan menyeluruh bagi mencapai objektif WKB 2030,” katanya hari ini.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, mesyuarat pertama MTBK telah diadakan pada 4 Mei 2021 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Keahlian MTKB terdiri daripada 21 orang menteri, 4 ketua jabatan, 2 ketua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), 3 wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina dan India serta tokoh-tokoh dalam pelbagai sektor ekonomi, pendidikan dan sosial,” ujarnya.
Antara tokoh-tokoh yang terlibat termasuk Tan Sri Sulaiman Mahboob, Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Dr Aini Ideris, Datuk Dr. Asma Ismail, Datuk Dr Madeline Berma dan Professor Datuk Dr Denison Jayasooria.
Turut diwujudkan ialah Jawatankuasa Eksekutif Kemakmuran Bersama (JEKB) yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusop.
“Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai sekretariat MTKB,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my