KUALA LUMPUR, 2 Dis – Perbuatan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Rosmah Mansur tidak hadir pada prosiding Mahkamah ditetapkan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati sistem undang-undang negara.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Ulya Aqamah turut menyatakan kekecewaan berikutan peluang yang diberikan mahkamah kepada Rosmah dan tidak mengeluarkan sebarang waran tangkap kerana kegagalannya mematuhi arahan mahkamah.
“Bayangkan jika perkara yang sama dilakukan oleh rakyat biasa, sudah pasti waran tangkap akan dikeluarkan dengan segera,
“Adakah undang-undang negara istimewa bagi sesetengah individu yang mempunyai kuasa?” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Rosmah hari ini terlepas daripada ditahan selepas panel 3 hakim menggunakan budi bicara untuk tidak mengeluarkan waran tangkap selepas gagal hadir prosiding kes rasuah melibat projek solar hibrid.
Beliau sepatutnya berada dalam negara sebelum 21 November lalu selepas diberi pelepasan pasport untuk ke Singapura bagi melawat anaknya yang baru bersalin di negara itu.
Menurut Ulya, Rosmah tidak sepatutnya diberi sebarang kelebihan selepas peluang yang diberikan kepadanya telah disalah guna dan diambil kesempatan.
“Sekembalinya pulang ke tanah air, dokumen perjalanan dan passport Rosmah Mansor wajib ditarik semula dan disekat.
“Jangan beri ruang untuk beliau ulangi kegagalan ini dan bertindak seolah-olah beliau kebal dari tindakan undang-undang,” ujarnya.-airtimes.my