KUALA LUMPUR, 24 Feb – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) di atas kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan kira-kira 1 tan daun ketum di Kuala Nerang, Kedah, kelmarin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin memaklumkan, Baginda yang juga Pemerintahan Tertinggi ATM bertitah bahawa ketangkasan dan kecekapan para anggota pasukan operasi Tentera Darat Malaysia (TDM) itu dalam melaksanakan amanah serta tugas sewajarnya dihargai.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan sokongan dan penghargaan terhadap usaha-usaha baik serta tindakan tegas kerajaan dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan membanteras jenayah rentas sempadan dan sindiket jenayat terancang di sempadan negara,
“Ini adalah kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur terhadap soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau menambah, Baginda menyeru agar kerajaan, khususnya agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan, memperhebatkan usaha-usaha membendung aktiviti-aktiviti jenayah tersebut yang meliputi antaranya penyeludupan dadah serta bahan-bahan terlarang, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pencerobohan sempadan negara sama ada daratan mahupun perairan.
“Baginda turut menyeru rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan dan mempunyai kesedaran serta tanggungjawab membantu kerajaan dan agensi-agensi penguatkuasaan membendung kegiatan jenayah sama ada di sempadan negara atau di kawasan masing-masing,
“Seri Paduka Baginda turut mengajak rakyat untuk bersama Baginda mendoakan semoga kedaulatan negara sentiasa dipelihara dan negara serta rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” ujarnya lagi.
Pada Selasa lalu, anggota TDM telah menahan 2 lelaki tempatan yang cuba menyeludup 1 tan daun ketum ke negara jiran dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda setelah kenderaan tersebut terlibat dalam kemalangan.
Menyedari kehadiran pasukan beroperasi, kenderaan tersebut telah memecut laju menyebabkan pasukan beroperasi (kumpulan ronda bermotosikal) telah membuat pengejaran bagi menghentikan kenderaan tersebut untuk diperiksa.
Namun, kenderaan terus dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya sehingga hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang di kawasan Kampung Sungai Kecil, Kuala Nerang.
Insiden tersebut telah menyebabkan kedua-dua suspek di dalam kenderaan (pemandu dan penumpang) mengalami kecederaan ringan dan berjaya diberkas oleh anggota oeprasi.
Hasil siasatan mendapati kenderaan tersebut membawa kira-kira 1 tan daun ketum bernilai RM38 ribu. -airtimes.my