KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) boleh membuat Pengeluaran Khas Jubli Emas dengan jumlah maksimum sehingga RM500 bagi meringankan beban kewangan mereka.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengeluaran khas itu sebagai manfaat tambahan dan insentif bagi membantu menangani beban kewangan pencarum.
“Sukacita saya ingin mengumumkan hari ini, mengambil kira jasa serta pengorbanan saudara saudari khususnya sebagai pencarum di LTAT, LTAT akan menawarkan Pengeluaran Khas maksimum sehingga RM500.00 secara ‘one-off’ kepada para pencarum LTAT,
“Permohonan pengeluaran Khas Jubli Emas ini boleh dibuat melalui Aplikasi MyWira mulai 10 Oktober dan akan ditutup pada 10 Disember 2022,
“Pembayaran pertama pula akan dilaksanakan bermula 19 hingga 23 Disember 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan sambutan Jubli Emas yang ke-50 tahun dengan tema Transformasi Nadi LTAT di Auditorium Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, hari ini.
Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri lkmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM; Pengerusi LTAT, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (Bersara) dan Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman.
Sementara itu, Hishammuddin menjelaskan Pindaan Akta LTAT yang telah diluluskan oleh Ahli Dewan Negara pada 11 Ogos lalu turut membolehkan LTAT menambahbaik dan memperkukuhkan 4 aspek penting kepada anggota tentera dan juga LTAT.
“Ia termasuklah perlindungan kepada pencarum, di mana kerajaan akan menjamin atau memberi perlindungan ke atas wang caruman anggota tentera,
“Meningkatkan perlindungan sekuriti sosial anggota tentera. Pencarum akan dibenarkan mencarum melebihi had wajib dan diberi fleksibiliti untuk mengekalkan caruman apabila tamat perkhidmatan,
“Memperkukuhkan tadbir urus LTAT dengan menambah lebih ramai pakar berpengalaman dan berkebolehan bagi memastikan pelaburan LTAT terus membawa pulangan yang tinggi,
“Dan memastikan pengisytiharan dividen yang lestari kepada anggota tentera berdasarkan prestasi kewangan LTAT dan berada pada tahap yang selari dengan dana persaraan yang lain,” jelasnya.
Selain itu, Hishammuddin turut mengumumkan pemberian sumbangan berjumlah RM2 juta daripada syarikat Dhaya Maju Infrastructure Asia Sdn Bhd, Affin Bank Berhad, Boustead Holdings Berhad, Pharmaniaga Berhad dan LBS Foundation kepada Yayasan LTAT sebagai dana tambahan bersempena sambutan Hari Pahlawan 2022.
Dalam majlis yang sama, Hishammuddin turut melancarkan inisiatif Bank Bergerak AFFIN atau Affin Mobile Financial Centre yang menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan terutamanya mereka yang berada di luar kawasan.
“Bank Bergerak ini menyediakan kemudahan seperti pembukaan akaun Bank, permohonan pinjaman, permohonan kad kredit dan juga transaksi melalui Mesin Teler Automatik dan Mesin Deposit Tunai,
“InsyaAllah, moga-moga ia mempermudahkan lagi urusan perbankan saudara saudari, terutama bagi
mereka yang berada di luar kawasan,” ujarnya. -airtimes.my