KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan bahawa 2 anggota trafik yang mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diambil tindakan tatatertib.
Beliau berkata, tindakan di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Polis Pulau Pinang telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas 2 anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada Ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown,
“PDRM juga telah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu setelah rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022 (Sabtu),” katanya.
Perkara tersebut dinyatakan Hamzah bagi menjawab pertanyaan Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) berhubung status siasatan dan pendakwaan terhadap anak seorang Ahli Parlimen BN yang menyalah guna kemudahan pengiring polis trafik di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan di media pada 7 Mei 2022.
Pada Mei lalu, polis Pulau Pinang telah membuka kerta kertas siasatan tatatertib terhadap 2 anggota polis trafik berhubung klip video tular di media sosial menunjukkan motorsikal polis sedang mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam. – airtimes.my