KUALA LUMPUR, 20 Okt – Pesawat Tentera Udara Republik Singapura yang didakwa melaksanakan terbang rendah di ruang udara daerah Pasir Gudang adalah sebahagian dari aset yang terlibat di dalam latihan ketenteraan pelbagai hala bagi negara-negara anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara atau Five Power Defence Arrangements (FPDA).
Panglima Angkatan Tentera, Jenaral Tan Sri Affendi Buang TUDM dalam kenyataan berkata, latihan yang dikenali sebagai Eksesais Bersama Gold 2021 ini telah dianjurkan oleh Malaysia bermula 8 hingga 18 Oktober 2021.
Menurutnya, ia disertai oleh negara-negara anggota FPDA iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom bersempena Sambutan 50 Tahun FPDA yang diadakan di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mendakwa jet pejuang Singapura kerap menceroboh ruang udara kawasan parlimennya semenjak awal Oktober lalu.
Affendi berkata, semua pesawat tentera negara-negara anggota FPDA iaitu Australia, New Zealand dan United Kingdom telah ditempatkan di Singapura.
Manakala pesawat kepunyaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), beroperasi dari Pangkalan Udara di Malaysia.
“Ini menyebabkan peningkatan trafik udara di sekitar ruang udara negara khususnya di selatan Johor berhampiran Pasir Gudang,
“Penerbangan pesawat-pesawat ini juga telah mendapat kelulusan diplomatik bagi tujuan latihan tersebut dan kawasan ruang udara Pasir Gudang merupakan laluan penerbangan yang dibenarkan sewaktu latihan berkenaan berlangsung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kekeliruan dan kegusaran di kalangan masyarakat Malaysia amnya serta rakyat negeri Johor terutamanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan Eksesais Bersama Gold 2021 telah tamat pada 28 Oktober semenjak ia dijalankan mulai 8 Oktober lalu.
“Latihan bersama ini melibatkan kehadiran aset-aset dari kesemua negara anggota FPDA dan ia merupakan kerjasama pertahanan yang dianggotai oleh Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom,
“Eksesais yang diadakan di kawasan Laut China Selatan ini turut melibatkan 25 buah jet pejuang termasuk dari Malaysia dan Singapura,
“Manakala, pada 21 Oktober ini, satu penerbangan lintas akan diadakan di Pangkalan Udara TUDM Subang bersempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhan FPDA,” jelasnya. -airtimes.my