BINTULU, 12 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu menahan 2 bot tunda dan 2 tongkang bersama muatan yang dipecayai melakukan aktiviti pemindahan barang bercukai tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa di perairan Bintulu.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, kedua-dua bot tunda serta tokang terbabit di kesan dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan lebih kurang 2.1 batu nautika dari Muara Sungai Kemana, Bintulu sekitar jam 10.28 pagi, kelmarin.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati 11 kru terlibat mengendalikan 4 vesel tersebut sedang melakukan aktiviti memindahkan barang bercukai yang disyaki ‘Quarry Dust’.
“Kesemua kru iaitu 5 daripadanya warga tempatan dan 6 warga Indonesia berusia dalam lingkungan 27 hingga 56 tahun, bot tunda, tongkang beserta muatan yang berjumlah lebih kurang 4500 metrik tan ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut,
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60, Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1983 dan Kanun Tanah Sarawak 1958,” jelas Effendy.
Pada masa yang sama, Effendy menggesa komuniti maritim terutamanya di Bintulu supaya mengutamakan keselamatan di laut dengan sentiasa memakai jaket keselamatan.
Tambahnya, pihaknya juga tidak menggalakkan komuniti maritim melakukan sebarang aktiviti riadah di pantai memandangkan keadaan laut yang masih bergelora kini. –airtimes.my