[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=uyLLVkX70iI[/embedyt]
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kerajaan akan terus memperkasakan dan memperkukuhkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia Timur dengan membina 19 buah pos imbangan baharu bagi menjamin kedaulatan negara.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Pertahanan telah merancang secara menyeluruh untuk membuat penambahan pos-pos kawalan di Malaysia Timur sejak tahun 2016 iaitu melibatkan sebanyak 19 buah pos imbangan baharu dikawasan berkenaan.
Manakala, sebuah pos telah siap dibina iaitu Pos Dafa di Sarawak.
Menurutnya, pertambahan pos-pos tersebut adalah bertujuan mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengimbangi penempatan pos-pos Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI AD) di sepanjang garisan sempadan.
“Kita mempunyai 1 Rejimen (Tentera Darat Malaysia) khusus untuk mengawal sempadan yang dinamakan Rejimen Sempadan (RS),
“Sehingga kini, bagi Malaysia Timur, iaitu di Sabah dan Sarawak kita telah mempunyai 16 pos di sempadan iaitu 9 pos di Sarawak, 7 pos di Sabah,
“Kita akan membina 19 pos kawasan sempadan lagi dan ia akan melalui 3 fasa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang yang mencadangkan pos-pos kawalan dan anggota di kawasan sempadan Sarwak – Kalimantan ditambah bagi meningkatkan kewalan keselamatan serta mengekang kemasukan PATI ke negara ini.
Ismail Sabri berkata, 19 pos itu akan melalui fasa pertama pada tahun 2021 yang melibatkan pembinaan 4 buah pos di Sarawak dan 2 buah di Sabah.
Manakala, untuk fasa 2 pada tahun 2022, akan melibatkan 5 buah pos di Sarawak. Fasa 3 pula yang dijangka pada tahun 2023 melibatkan 5 buah pos di Sarawak dan 3 buah pos di Sabah.
“Maknanya, di Sarawak sahaja akan ada 14 pos lagi selain 9 pos yang sedia ada,
“Kita akan terus memperketatkan kawalan sempadan negara baukan sahaja menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) tapi menyekat jenayah rentas sempadan yang mungkin berlaku di kawasan sempadan negara,” tambahnya. –airtimes.my