JOHOR BAHRU, 24 Sept – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas pelbagai jenama rokok seludup berjumlah 1,031 karton di sebuah premis di Taman Desa Tebrau pada Khamis.
Pegawai Memerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, serbuan pada jam 6.30 petang juga berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang dipercayai aktif membekalkan rokok tidak bercukai ke kedai-kedai runcit.
“Dengan tertangkapnya suspek ini PGA berjaya merampas sebuah kenderaan jenis Proton Persona dan satu telefon bimbit,
“Rokok yang dirampas pula adalah 330 karton rokok Manchester Merah 20 batang; 208 karton rokok Manchester Gold 20 batang; 191 karton rokok Manchester Putih Extra 20 batang; 124 karton rokok Manchester Biru Extra 20 batang dan 178 karton rokok Manchester Hijau 20 batang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut Dimin, suspek juga menjadikan premis tersebut sebagai stor penyimpanan sementara rokok seludup sebelum diedarkan untuk pasaran sekitar daerah Johor Bahru.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM203,574,60,
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – airtimes.my