KUALA LUMPUR, 18 Nov – Hasil pemerhatian dari Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah berjaya mengesan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia di Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, pihaknya telah menahan 17 PATI warga Indonesia yang terdiri daripada 9 lelaki dan 8 wanita berusia antara 19 hingga 43 tahun yang baru tiba dari Indonesia.
“Kejadian tersebut berlaku di sektor Operasi Benteng (Op Benteng) di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged),
“Serbuan telah dilakukan oleh Tim Quick Reaction Force (QRF) kira-kira jam 4.30 pagi tadi,
“Tim QRF diaturgerakan ke lokasi bagi membuat penjejakan setelah mendapat maklumat dari tim dron BSPP yang mengesan pergerakan mencurigakan di sekitar kawasan tersebut,”katanya.
Nilai rampasan keseluruhan tangkapan berjumlah RM 8,470.76 melibatkan wang tunai RM 1,328.00 dan matawang Indonesia berjumlah 7,009,000 Rupiah (RM 2,043.30) bersama 14 buah telefon bimbit dan 3 utas jam tangan.
Kesemua PATI yang ditahan telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk membuat pemeriksaan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Laporan polis telah dibuat di balai polis Bayu Damai. –airtimes.my