KUALA LUMPUR, 28 Mac – Mesyuarat Jalinan Kerjasama Trilateral (TCA) di antara Malaysia, Indonesia dan Filipina bersetuju meningkatkan pertukaran maklumat perisikan antara ketiga-tiga negara.
Mesyuarat TCA telah dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan dihadiri Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto serta Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin N Lorenzana di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Menurut Hishammuddin, TCA telah bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan memfokuskan bagi meningkatkan jalinan antara ketiga-tiga Maritim Command Center (MCC) di Tawau, Tawi-Tawi dan Tarakan.
“Jalinan kerjasama ini bagi membolehkan perkongsian maklumat, pemantauan dan pelaksanaan operasi maritim serta udara dapat dilaksanakan secara efektif,
“Kedua, meningkatkan kehadiran secara bersama melalui aktiviti pemantuan di bawah Trilateral Maritime Patrol (TMP) bagi mengatasi dan mencegah ancaman keselamatan di rantau melibatkan Malaysia, Indonesia dan Filipina di kawasan perairan yang berkepentingan,
“Ketiga, meningkatkan pertukaran maklumat perisikan antara ketiga-tiga negara untuk memastikan operasi pemantauan TCA pada masa hadapan serta tindakan yang diambil bagi mengatasi jenayah terancang dan ancaman keganasan di rantau ini adalah tepat serta produktif,
“Keempat, meningkatkan kerjasama strategik dan komitmen antara ketiga-tiga negara melalui usaha berterusan dalam menambahbaik struktur, komunikasi serta koordinasi TCA antara Malaysia, Indonesia dan Filipina,” katanya.
Dalam masa sama, TCA turut menghargai semangat dan dedikasi pihak tentera dari ketiga-tiga negara yang telah bekerjasama untuk melindungi keselamatan kawasan perairan walaupun terpaksa berhadapan dengan persekitaran yang mencabar serta pelaksanaan aktiviti yang terhad akibat pandemik COVID-19.
“Selain daripada itu, berdasarkan pelaporan mesyuarat, tiada kes penculikan dilaporkan pada 2021 dan ini memperlihatkan bahawa pelaksanaan TCA berada di landasan yang betul,
“Ketiga-tiga Menteri Pertahanan memperbaharui komitmen masing-masing kepada pelaksanaan TCA yang telah dirancang pada tahun ini,” ujarnya. – airtimes.my