Ketuanya, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, beliau percaya, Naib Presiden UMNO itu mampu mengukuhkan UMNO Perlis tanpa ada lagi bayangan perpecahan dalaman seperti sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik pelantikan Mohamed Khaled menerajui UMNO negeri ini memandangkan bekas Menteri Besar Johor itu merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman luas di peringkat negeri dan pusat.

“Kita juga ingin mengajak seluruh ahli dan penyokong parti untuk mengalu-alukan pelantikan beliau (Mohamed Khaled) serta memberikan sepenuh kerjasama dalam meneruskan agenda perjuangan UMNO di Perlis,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan mengumumkan barisan Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi lantikan penggal 2018-2021 termasuk senarai pengerusi, timbalan pengerusi serta setiausaha badan perhubungan di semua negeri.

Mohamed Khaled diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis bagi menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, Pemuda UMNO Bahagian Arau menolak sama sekali kritikan segelintir pihak yang bersifat kenegerian serta memperkecilkan pengalaman, kebolehan dan daya kepimpinan Mohamed Khaled dalam menerajui parti itu di Perlis.

Kata Syed Atif, cubaan untuk mengaitkan Mohamed Khaled dengan pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) di seluruh negara termasuk Johor dalam pilihan raya baru-baru ini adalah tidak realistik.

“Kajian dan pemerhatian politik secara jelas menunjukkan kekalahan BN adalah berpunca daripada isu-isu besar di peringkat nasional tanpa melibatkan kesalahan atau kelemahan Mohamed Khaled secara langsung,” katanya.