Serang hendap di Sungai Semur merupakan salah satu daripada pertempuran awal antara pasukan keselamatan tanah air menentang keganasan Parti Komunis Malaya (PKM) pada satu ketika dahulu. Peristiwa yang berlaku pada 25 Mac 1950 ini melibatkan pasukan Platun 12 dari Kompeni D, Batalion ke-3 Rejimen Askar Melayu Diraja (3 RAMD).
Pada ketika itu, 3 RAMD yang berpengkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan telah ditugaskan untuk mencari dan memusnahkan elemen PKM di Gua Musang, Hulu Kelantan.

Walaupun baru diaktifkan semula selepas tamat Perang Dunia Ke-2, Rejimen Askar Melayu Diraja telah terlibat dalam beberapa siri pertempuran menentang elemen bersenjata komunis di negara ini.
Pertempuran yang berlaku pada awal pagi itu merupakan satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh Koperal (Bersara) Salleh Nahu, 92 tahun, yang pada ketika itu baru sahaja melibatkan diri dalam dunia ketenteraan.
Menurut Salleh yang membahasakan dirinya atuk, berkata, Darurat Pertama diisytiharkan semasa beliau masih menjalani latihan di Port Dickson.
“Semasa darurat diisytiharkan, saya masih berlatih di Port Dickson,” katanya ketika mula mengimbas kembali kenangannya kira-kira 70 tahun lalu.
Salleh merupakan antara kumpulan pertama anak tempatan yang dilatih untuk menyertai Rejimen Askar Melayu selepas Perang Dunia Ke-2 tamat. Beliau telah memohon masuk tentera pada usia 17 tahun.
Berikutan keadaan yang mendesak, beliau bersama rekrut yang lain terpaksa menjalani latihan dalam tempoh masa yang singkat, iaitu selama 4 bulan.
‘Kelantan Darul Naim’
“Tamat sahaja latihan, saya ditukarkan ke 3 RAMD di Kelantan. Sampai di sana, saya jalani latihan perang hutan selama 3 minggu dan menyertai operasi di seluruh pelusuk Kelantan,” katanya.
Bagi beliau, pertempuran di Sungai Semur merupakan satu peristiwa yang tidak mungkin akan dilupakan biarpun usianya sudah hampir mencecah satu abad.
Berkekuatan seramai 25 orang dan diketuai oleh Leftenan Hassan bin Yassin, Platun 12 diarahkan untuk meronda di Sungai Nenggiri selama tiga hari mulai 23 Mac 1950. Operasi platun ini turut disertai oleh sepasukan Polis Khas (Special Constable, SC) yang diketuai oleh Sarjan Wan Yaakub.
Pasukan SC ditugaskan untuk memantau 18 orang masyarakat Cina dari Pulai yang sedang mengumpul atap nipah di dalam hutan.

Walaupun usia kian menghampiri satu abad, Salleh Nahu masih ingat akan peristiwa berdarah yang menimpa Platun 12, 3 RAMD di Sungai Semur.
Pada petang 24 Mac, selesai meronda, Hassan mengarahkan anak buahnya untuk berehat dan bersiap untuk pulang pada keesokan harinya. Hassan memaklumkan pergerakan pulang Platun 12 kepada Wan Yaakub.
Pasukan SC akan terus berada di lokasi kerana kerja-kerja mengumpul nipah oleh penduduk Cina masih lagi belum selesai.
Pada 25 Mac 1950, Salleh dan pasukannya sedang menyusuri air Sungai Semur dan melewati kawasan berbukit.
‘Serang hendap’
“Ketika sampai ke Sungai Semur, kami lalui satu anak sungai dan penjahat (komunis) sudah menunggu,
“Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi satu letupan,” cerita Salleh yang mengenang kembali peristiwa berdarah itu.
Menurut Salleh, rakannya, Prebet Abdul Wahab Hamid berkata, kemungkinan letupan itu berpunca dari Sten gun yang terjatuh.
Sten gun atau dikenali sebagai Sten merupakan salah satu submesingan keluaran British. Senjata yang direka pada era Perang Dunia Ke-2 ini digunakan secara meluas oleh British dan Negara Komanwel. Walaupun begitu, Sten mempunyai kelemahannya yang diantaranya ialah berlaku misfire (tertembak) sekiranya senjata itu jatuh.

Sten Gun merupakan salah satu jenis persenjataan yang paling banyak digunakan oleh tentera Komanwel.
Sangkaan Wahab bahawa letupan itu berpunca dari Sten ternyata meleset apabila kedengaran suara laungan anggota platun terkena tembakan bertubi-tubi oleh komunis.
“Pengganas telah menunggu di kedua-dua tebing sungai dan mula menembak ke arah anggota platun yang terkebelakang,
“Di bahagian itulah ramai anggota tentera kita gugur ketika di serang hendap,” kata Salleh.
Pada waktu itu, gerombolan pengganas yang menyerang hendap Platun 12 dari Kompeni D 3 RAMD adalah dari Kompeni ke-7, Rejimen ke-12 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM) atau dikenali sebagai Malayan National Liberation Army (MNLA). Pada waktu itu, musuh adalah berkekuatan lebih 200 orang.
MNLA merupakan cabang bersenjata PKM dan kebanyakannya adalah terdiri daripada bekas anggota MPAJA (Malayan Peoples’ Anti-Japanese Army).
Ketua platun, Leftenan Hassan telah mengarahkan seksyen mortar platun untuk melepaskan tembakan terhadap musuh.

Kawasan sungai merupakan antara kawasan kerap berlaku pertempuran antara pasukan tentera dan komunis. Kawasan ini juga menjadi tempat pengganas komunis untuk melakukan serang hendap.
“Mana-mana anggota yang terselamat bangkit melawan tembakan musuh. Kawasan pertempuran adalah dalam hutan tebal dan mempunyai buluh yang banyak,
“Tembakan bantuan dari seksyen mortar tidak mengena ke arah musuh kerana mereka oleh pohon buluh,” jelas Salleh.
Dalam pertempuran itu, anggota seksyen mortar gugur akibat tembakan musuh. Ini sekaligus mengurangkan daya kuasa tembakan Platun 12 terhadap musuh. Pertempuran yang sengit itu turut menyebabkan Leftenan Hassan gugur. Tugas sebagai ketua kemudiannya diambil alih oleh Koperal Jamaluddin.
Tembakan musuh datang dari pelbagai arah dan kedudukan anggota 3 RAMD adalah amat terdedah serta hampir tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi. Menurut Salleh, pasukannya berlindung di mana-mana tempat termasuk di sebalik timbunan daun mati di pangkal buluh.
Semasa pertempuran, musuh mula mengepung kedudukan Platun 12 dan cuba menembusi garisan pertahanan pasukan dari belakang. Ketika cuba menawan kedudukan askar Melayu, 4 orang pengganas komunis dibedil dengan tembakan oleh Prebet Abdul Wahab Hamid.
‘Gigit kelopak untuk isi senjata’
Menurut Salleh, beliau pada ketika itu bersenjatakan Sten. Beliau melepaskan tembakan ke arah musuh yang menyerang. Namun, beliau menyatakan musuh mempunyai kedudukan yang lebih baik dan keadaan menyukarkan lagi untuknya menggempur musuh.
Sten mempunyai kadar tembakan sekitar 500 ke 600 butir peluru seminit dan mempunyai kelopak berisi 32 butir peluru 9mm. Walaupun di atas kertas Sten mempunyai jarak membunuh dalam lingkungan 100 meter, Salleh menyatakan situasi yang dihadapinya adalah jauh berbeza.
“Sten, sasaran pada jarak 50 meter belum tentu boleh mati terkena tembakan,” ujarnya.

Pengganas komunis menggunakan taktik peperangan gerila untuk mengancam keselamatan dan kedaulatan tanah air.
Selepas melepaskan tembakan, Salleh mengisi semula senjatanya dan terkena tembakan oleh musuh di bahagian paha. Kecederaan yang dialaminya tidak membantutkan semangat beliau untuk terus mengempur musuh.
Tembak-menembak yang berlaku memecah keheningan hutan di Sungai Semur. Diiringi bunyi ibarat bertih jagung, anggota Platun 12 dari 3 RAMD sedang bertarung nyawa untuk mempertahankan kedudukan mereka yang telah diserang hendap oleh PKM.
Salleh, bersama beberapa orang rakannya sedang melepaskan tembakan ke arah musuh yang menyerang mereka dari dua arah berasingan. Walaupun cedera, Salleh masih melepaskan tembakan ke arah musuh walaupun jumlah penyerang lebih ramai dan keupayan senjatanya yang terhad.
“Selepas menggunakan kelopak kedua, saya terkena tembakan lagi sekali di bahagian lengan,” kata Salleh.
Ujarnya, tembakan yang mengenai tepat di bahagian lengan kirinya seolah-olah menarik segala kudrat dalam badannya.
“Atuk pada masa itu lemah tapi boleh bergerak lagi dan darah banyak keluar di bahagian lengan,” katanya.
Kecederaan yang dialaminya menyukarkan lagi keadaan. Akibatnya, Salleh menghadapi kesusahan untuk membuka kelopak dari senjata. Beliau terpaksa menggunakan gigi bagi menarik bolt pada bahagian kanan senjata.
Walaupun Sten tampak ringkas, mekanisme untuk mengisi kelopak baharu (reload) memerlukan penembak untuk mencekah bolt senjata ke kedudukan selamat bagi memberi ruang pada bahagian kebuk senjata (chamber).

Sten Gun digunakan secara meluas oleh pasukan tentera dan polis kerana larasnya yang pendek memberikan kelebihan dari segi pergerakan. Namun, senjata ini mempunyai kekurangannya yang tersendiri.
Kecederaan pada tangan kiri Salleh sekaligus menyukarkan beliau untuk meneruskan pertempuran dengan menggunakan Sten.
“Atuk tak boleh nak buka kelopak, terpaksa guna gigi untuk menarik bolt untuk masukkan kelopak yang ke-3,
“Walapun dah berjaya masukkan kelopak ketiga, senjata atuk tersekat melepaskan 2 tembakan,” kata Salleh.
Beliau menambah, peluru ke-3 dari kelopak baharu telah tersekat di kebuk. Senjata yang mengalami sekatan atau stoppage adalah satu keadaan yang merbahaya kepada mana-mana infantri kerana mereka tidak dapat menggunakan senjata itu untuk menggempur musuh.
‘Kami bukan pengecut, kami askar!’
Ketika mengalami stoppage, Salleh terdengar laungan dari pihak musuh yang mengarahkan anggota platun 12 untuk menyerah diri.
“Mereka menjerit askar Melayu surrender-lah, bodohlah,” kata Salleh.

Sejarah pertempuran di Sungai Semur pada 25 Mac 1950 merupakan antara lipatan sejarah menjadi bukti keberanian RAMD dalam menghadapi musuh.
Walaupun mempunyai bilangan keanggotaan yang kurang, anggota Platun 12 tidak mengendahkan laungan oleh pihak musuh. Malah, menurut Salleh, laungan musuh disahut oleh rakan sepasukannya, Koperal Jamaluddin. Kpl Jamaluddin membalas laungan itu dengan menegaskan bahawa mereka tidak akan menyerah kalah.
“Kami bukan pengecut, kami askar, kami tidak akan serah diri,” laung Jamaluddin.
Terdengar laungan balas oleh Askar Melayu, musuh mula bertindak agresif terhadap Platun 12. Tembak-menembak antara kedua-dua pihak terus berlaku. Pertempuran yang bermula seawal 10 pagi itu berakhir pada pukul 3.30 petang.
Bantuan dari SC
Pertempuran di antara 3 RAMD dengan MNLA didengari oleh pasukan SC yang diketuai oleh Wan Yaakub. Tanpa melengahkan masa, pasukan SC bergerak menuju ke lokasi pertempuran. Setibanya di sana, pasukan SC telah berpecah kepada dua pasukan kecil dan cuba membantu anggota Platun 12 yang masih bertahan diasak oleh pengganas.
Ketika cuba memberikan bantuan, 7 anggota SC dari kumpulan pertama cedera ditembak oleh komunis. Wan Yaakob dan anggotanya pula berjaya menemui kedudukan Bren Gun pengganas yang sedang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah Platun 12.

MNLA merupakan antara komponen tempur Parti Komunis Malaya di negara ini pada satu ketika dahulu. Perhatikan Bren Gun di bahagian hadapan gambar.
Tembakan dari Bren Gun itu akhirnya berhenti selepas pasukan SC berjaya membunuh penembak.
Walaupun berjaya tiba di lokasi, kedatangan SC tidak mampu mengubah keseluruhan pertempuran.
Pertempuran tamat
Kehabisan peluru, anggota Platun 12 yang masih hidup telah ditawan. Keadaan yang memeritkan hati itu hanya mampu dilihat oleh pasukan SC.
“Selesai pertempuran, kawasan itu menjadi reda. Masa itu, 16 anggota maut dan saya bersama 8 orang lagi masih hidup,
“Jamaluddin pada waktu itu ditangkap oleh komunis dan diberikan ceramah indoktrinasi selama 2 jam. Kemudian, Jamaluddin dibebaskan dan pulang ke pangkalan Pulai,” kata Salleh.
Selepas ditahan, Jamaluddin bersama Salleh serta 7 lagi anggota yang cedera dan masih boleh berjalan dibenarkan pulang. Antara yang dibenarkan pulang ialah Prebet Zamzuri Itam Sudin, Prebet Nordin Md. Isa, Prebet Hussin Mamat, Lans Koperal Mohamad Othman, Prebet Ahmad Mat Jam, Prebet Mohd. Shariff Manaf dan Prebet Osman Yaakub.
Prebet Abdul Wahab dan Prebet Rashid Hassan yang cedera parah terpaksa ditinggalkan di lokasi pertempuran bersama mayat rakan mereka yang terkorban
Akibat pertempuran itu, Salleh mengalami kecederaan akibat dua tembakan – di paha dan lengan. Beliau turut mengingati akan kecederaan beberapa orang rakannya selepas berbalas tembak dengan MNLA.
“Mat, orang Pulau Pinang, ibu jari dia putus terkena tembakan. Orang Rembau, Shariff, perutnya terburai,
“Orang Kelantan, Prebet Osman Yaakub, bahu dan dadanya cacat terkena tembakan komunis,” kata Salleh sambil mengenang akan keadaan mereka pada waktu itu. Menurutnya, Osman meninggal dunia selepas dibawa pulang ke kem.

Koperal (B) Salleh Nahu merupakan antara generasi awal yang menganggotai RAMD selepas Perang Dunia Ke-2 tamat.
Semasa dirawat, Salleh diberikan morfin oleh pegawai perubatan bagi tujuan menahan sakit. Beliau kemudiannya dibawa menaiki perahu dari Pulai ke Gua Musang. Setibanya di Gua Musang, Salleh telah dibawa menaiki kereta perisai menuju ke Bertam.
Di Bertam, beliau sekali lagi dibawa menaiki perahu ke Kuala Krai sebelum di bawa oleh trak ke Kota Bharu. Di sana, beliau berjumpa sekali lagi dengan dua orang rakannya yang cedera, Prebet Wahab dan Prebet Rashid yang sebelumnya ditinggalkan bersama mayat anggota yang terkorban akibat kecederaan parah.
Mereka berdua ditemui oleh Platun 11 semasa merangkak menyusuri Sungai Semur. Kaki Wahab pada masa itu sudah berulat di bahagian lubang akibat terkena tembakan peluru.
“Mereka pada waktu itu tidak dapat sebarang bantuan kerana sedang menunggu ketibaan pasukan dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) di Taiping,
“1 RAMD menguruskan mayat di ke Gua Musang dan ada diantaranya dikebumikan di sana serta di Pulai,” kata Salleh.
Jasad anggota yang gugur kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Askar Melayu, Port Dickson.
Pertempuran di Sungai Semur mungkin dilihat sebagai satu kekalahan kepada anggota tentera sebagaimana dicanang oleh musuh.

Walaupun 70 tahun telah berlalu, peristiwa berdarah Sungai Semur tetap diingati dalam lipatan sejarah tanah air.
Namun, semangat juang yang tinggi oleh anggota Platun 12 telah menafikan kejayaan MNLA.
Walaupun berdepan dengan bilangan musuh yang ramai dan bertempur sehingga kehabisan peluru, seramai 29 orang pengganas komunis ditemui mati selepas cuba menggempur Platun 12.
Atas semangat juang yang tinggi dan enggan mengalah, Koperal Jamaluddin telah dianugerahkan Distinguished Conduct Medal (DCM) dan dinaikkan pangkat Sarjan. Sementara itu, Lans Koperal Mohamad Othman dan Prebet Abdul Wahab dianugerahkan Military Medal (MM). – Air Times