SUBANG, 14 Dis – 25 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menerima sayap penerbangan Kuartermaster Udara (KU) sempena Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM tahun 2018 yang diadakan di Padang Kawad, Pangkalan Udara Subang hari ini.
TUDM dalam kenyataannya hari ini berkata penganugerahan ini merupakan inisiatif TUDM di dalam mengiktiraf pencapaian dan juga kejayaan anggota, skuadron penerbangan serta pangkalan TUDM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2018.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah menyempurnakan upacara pemakaian sayap penerbangan kepada anggota TUDM yang telah berjaya menamatkan kursus dengan jayanya mulai Dis 17 hingga Okt 18.
Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian anugerah Kecermelangan TUDM tahun 2018 mengikut pelbagai ketegori antaranya AirMan Of The Year yang di sandang oleh Pegawai Waran Udara II Muhammad Akashah bin Ahmad bagi kategori Kuartermaster Udara. Bagi kategori Material disandang oleh Flait Sjn Intan Safina binti Arifin manakala ketegori Pembantu Pertahanan pula dirangkul oleh Koperal Udara Muhammad Rasydan bin Shaharudin.
No. 20 Skuadron menjuarai anugerah Squadron Of The Year .
Pangkalan Udara Subang pula telah memenangi Anugerah Pangkalan Terbaik.
Insentif khas turut diberikan kepada Persatuan Sukan TUDM kerana telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan ATM bagi tahun 2018.
Turut hadir ke Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM ini adalah Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Dato’ Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM; Panglima Pendidikan & Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM serta Pegawai-pegawai Kanan TUDM yang lain.