STOCKHOLM, 24 APRIL – Perbelanjaan ketenteraan global dilaporkan meningkat secara mendadak pada tahun 2022 dengan paras tertinggi keseluruhan sebanyak US$2,240 bilion.
Menurut pihak Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI), peningkatan ini didorong oleh beberapa faktor yang menyumbang kepada kemerosotan keselamatan global.
“Peningkatan berterusan dalam perbelanjaan ketenteraan global pada tahun-tahun terkini menandakan bahawa kita hidup dalam dunia yang semakin tidak selamat,
“Banyak negara telah mengukuhkan kekuatan ketenteraan mereka sebagai reaksi terhadap persekitaran keselamatan yang semakin merosot,” Dr Nan Tian, Penyelidik Kanan dengan Program Perbelanjaan Ketenteraan dan Pengeluaran Senjata SIPRI dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, perkembangan ini merupakan reaksi negara-negara di peringkat global yang menjangkakan persekitaran keselamatan yang mungkin tak akan pulih dalam masa terdekat.
Data yang dikeluarkan oleh SIPRI menunjukkan Amerika Syarikat, China dan Rusia merupakan 3 negara yang berbelanja besar untuk ketenteraan mereka.
Menurut SIPRI, peningkatan perbelanjaan paling ketara dapat dilihat di Eropah.
“ Bantuan ketenteraan kepada Ukraine dan kebimbangan tentang ancaman yang semakin meningkat daripada Rusia sangat mempengaruhi keputusan perbelanjaan banyak negara lain, begitu juga dengan ketegangan di Asia Timur,” katanya.
Jelas SIPRI, perbelanjaan ketenteraan negaa-negara di rantau Asia dan Oceania adalah US$ 575 bilion dan merupakan peningkatan sebanyak hampir 45% berbanding 2013.
Perbelanjaan ketenteraan China telah meningkat selama 28 tahun berturut-turut dan mencapai paras US$292 bilion pada tahun 2022.
“Ini adalah 4.2 peratus lebih banyak daripada tahun 2021 dan 63 peratus lebih banyak daripada tahun 2013. Perbelanjaan ketenteraan China telah meningkat selama 28 tahun berturut-turut,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Jepun telah meningkatkan perbelanjaan ketenteraan mereka sehingga US$46 bilion (1.1 peratus dariopada KDNK.
Menurut SIPRI, peningkatan perbelanjaan di Negara Matahari Terbit itu didorong oleh ancaman keselamatan dari China, Korea Utara dan Rusia yang dilaporkan meningkat dari tahun ke tahun.
Xiao Liang, Penyelidik dengan Program Perbelanjaan Ketenteraan dan Pengeluaran Senjata SIPRI menjelaskan peningkatan perbelanjaan oleh Tokyo turut dipacu oleh rombakan polisi ketenteraanya.
“Sekatan pasca-perang yang dikenakan oleh Jepun terhadap perbelanjaan dan keupayaan ketenteraannya mula dilonggarkan,” katanya. – airtimes.my