SHAH ALAM, 27 Mac – Seramai 4 orang lelaki ditahan bersama 1.33 tan dadah jenis ganja yang dianggarkan berjumlah RM3.33 juta menerusi 4 serbuan berasingan di sekitar Selangor, pada Khamis lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang berusia 23 hingga 46 tahun itu ditahan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Selangor sekitar 4.40 petang dan 11 malam di 2 lokasi di Subang Jaya manakala masing-masing satu lokasi di Rawang dan Semenyih.
“Hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis ganja gred 2 di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan dadah,
“Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 2,576,000 penagih,“ katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Ahad.
Ayob Khan berkata, modus operandi digunakan sindiket itu adalah dengan membawa masuk bekalan dadah dari Thailand melalui laluan tikus untuk dipasarkan di sekitar Selangor dan Johor.
“Siasatan mendapati, sindiket pengedaran dadah ini dipercayai mula aktif sejak pertengahan Januari tahun ini,
“Kesemua lelaki itu terdiri daripada 2 penganggur, ahli perniagaan dan penghantar barang,” tambahnya.
Beliau berkata, seorang daripada mereka positif terhadap dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan semakan rekod jenayah lampau turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai 2 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dengan polis menyita pelbagai aset sindiket termasuk 4 kenderaan dan wang tunai dianggar bernilai RM331,900,
“Ini menjadikan keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM3.7 juta,“ katanya.
Ayob Khan berkata kesemua mereka direman 7 hari hingga 31 Mac ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Dalam masa yang sama, Ayob Khan berkata, pihak dan JSJN kini sedang berusaha mengesan saki baki sindiket termasuk dalang yang terlibat dalam aktiviti tersebut. -airtimes.my