GAZA, 18 OKT – Sekurang-kurangnya 500 rakyat Palestin terkorban dalam serangan udara tentera rejim Zionis Israel ke atas sebuah hospital di tengah Gaza pada Selasa.
Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza memaklumkan, hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.
“Hospital al-Ahli al-Ma’madani di Genting Gaza menempatkan ratusan orang yang sakit dan cedera serta orang ramai dipindahkan secara paksa dari rumah mereka,
“Berpuluh-puluh ribu keluarga telah berpusu-pusu ke hospital-hospital yang hampir lumpuh di Gaza bagi mencari perlindungan daripada serangan tentera Israel yang tidak berkesudahan,” kata kementerian itu.
Angka kematian itu menjadi antara yang tertinggi bagi satu serangan udara tunggal rejim Zionis sejak 2008.
Pihak berkuasa tempatan juga mengesahkan ia merupakan insiden paling teruk di Gaza sejak perang Israel-Hamas tercetus 7 Oktober lalu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi kenyataan di media sosial mengecam tindakan Israel atas serangan itu.

Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza memaklumkan, hospital itu berfungsi sebagai tempat perlindungan untuk ribuan penduduk yang meninggalkan kediaman mereka di utara Gaza.
Beliau juga menyeru perlindungan segera terhadap orang awam dan penjagaan kesihatan serta menghentikan perintah pemindahan penduduk Palestin.
“Ini adalah keterlaluan dan sekali lagi ia menunjukkan sikap tidak menghiraukan nyawa orang awam,” kata Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) di media sosial.
Sebelum ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan sekurang-kurangnya enam maut selepas sebuah sekolah di Gaza yang menempatkan 4,000 rakyat Palestin diserang.
Kira-kira 600,000 penduduk telah melarikan diri dari bahagian utara Semenanjung Gaza ke arah selatan selepas Israel memberi amaran akan melakukan serangan, memetik larporan Reuters.
Israel turut menyekat bekalan makanan, air, bahan api dan bekalan elektrik sejak serangan dilancarkan Hamas pada 7 Oktober dan menafikan berlakunya krisis kemanusiaan di Gaza. -airtimes.my
#global #airtimes #Malaysia #Palestin