GAZA, 3 NOV – Sebanyak 4 buah sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan bagi mangsa peperangan di Gaza mengalami kerosakan selepas dibom tentera Israel pada Khamis.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, salah sebuah sekolah yang rosak itu ialah di kem pelarian Jabalya yang juga kem pelarian terbesar di Semenanjung Gaza, yang dilaporkan menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 5 orang cedera.
“Sebuah sekolah lain di kem pelarian Beach atau Al-Shati juga rosak, dengan seorang kanak-kanak dilaporkan terbunuh,
Kedua-dua lokasi tersebut terletak di bahagian utara Semenanjung Gaza,” ujar PBB dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan itu juga, PBB berkata, insiden-insiden itu berlaku selepas 2 hari serangan besar-besaran dilancarkan tentera Israel di kawasan tersebut.
“Sementara di kawasan selatan, 2 buah sekolah yang digunakan sebagai tempat perlindungan di kem pelarian Al Bureij juga tidak ketinggalan mengalami kerosakan. 2 orang dilaporkan terbunuh dan 31 orang cedera,” kata kenyataan PBB itu lagi.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata lebih 9,000 rakyat Palestin telah terbunuh manakala Israel berkata lebih 1,400 rakyatnya telah terkorban sejak keganasan meletus sejak 7 Oktober lalu.
Mereka kebanyakannya ialah orang awam dan termasuk kanak-kanak. Lebih 200 warga Israel telah dijadikan tebusan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu. -airtimes.my
#global #Gaza #Malaysia #airtimes