SABAH, 6 Dis – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan latihan perairan bertempat di sekitar kawasan Pulau Tiga, Kuala Penyu, bermula pada 28 November hingga 4 Disember lalu.
Menurut TUDM, latihan ini telah melibatkan anak kapal No.5 Skuadron yang mengoperasikan pesawat EC 725 AP bersama Detasmen Combat Air Rescue (CAR) Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
Latihan ini bertujuan bagi memenuhi keperluan latihan perairan kepada anak kapal No.5 Skn dan anggota Detasmen CAR.
“Selain itu, latihan ini juga bagi meningkatkan tahap kemahiran pengoperasian peralatan Rescue Specialist seperti Rescue Basket, Airborne Tactical Extraction Platform (AirTEP),
“Ia turut melibatkan latihan menyelam, Free Water Jump, pengendalian Bot (Coxswain) dan juga peralatan sokongan operasi Long Range Acoustic Device (LRAD) pada waktu siang serta malam,” jelas TUDM menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Turut terlibat menjayakan latihan ini dengan memberikan bantuan teknikal adalah Lembaga Pemegang Amanah, Taman-Taman Sabah bagi Pulau Tiga serta Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu, Sabah.
Dalam perlaksanaan latihan ini turut diadakan Program Jiwa Murni atau COMREL (Community Relations) di penghujung latihan dengan melaksanakan aktiviti membersihkan pantai Taman-Taman Sabah Pulau Tiga.
“Dalam masa yang sama latihan ini dapat meningkatkan kesedaraan di kalangan komuniti dalam usaha memelihara dan menjaga kebersihan pantai,
“Program ini juga turut disertai oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu serta para petugas Taman-Taman Sabah Pulau Tiga,
“Secara keseluruhannya, latihan kali ini telah berjaya mencapai objektif dan misi yang diinginkan dengan kerjasama jitu dan usaha bersepadu semua pihak yang terlibat,” jelas TUDM.-airtimes.my