SEMPORNA, 21 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan 2 lelaki dan merampas 70 kilogram (kg) ikan pelbagai spesies yang dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan di kawasan laut Kampung Terusan, Pulau Bum Bum, petang semalam.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, DSP Mohammad Ismail berkata, tangkapan dan rampasan dibuat atas maklumat dari orang awam.
“Berdasarkan maklumat tersebut, PPM telah pergi ke kawasan tersebut dan mendapati sebuah pump bot dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan,
“Pump bot tersebut telah ditahan dan hasil pemeriksaan di dalam ruang perahu telah menjumpai lebih kurang 70kg ikan pelbagai jenis,
“Hasil soal siasat ringkas dijalankan terhadap juragan, didapati ikan tersebut ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam hantaran di media sosial PPM Wilayah 4.
Menurut beliau, suspek dan barang rampasan di bawa ke Pangkalan PPM Semporna kerana melakukan kesalahan dibawah Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.
Tambahnya, 2 lelaki berbangsa Bajau Laut tersebut berusia 30-an berasal dari Kampung Halo, Semporna.
“Rampasan melibatkan dua unit enjin pam, 70kg ikan pelbagai jenis, dua gulung hose, satu unit kompresor, satu gelen jerikin, dus set fin, dua unit propeller shaft dan sebuah perahu,
“Nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM8,170.19. Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan Semporna untuk siasatan lanjut,” jelasnya. – airtimes.my