KUCHING, 20 Mei – Niat 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang berhajat pulang ke negara asal tidak kesampaian apabila mereka diberkas di kawasan ladang kelapa sawit Rimbunan Hijau, Lundu pada Khamis.
Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) menjelaskan, kesemua suspek berusia antara 24 hingga 43 tahun itu ditahan pada jam 6 pagi.
Menurutnya, anggota petugas sebelum itu telah mengesan 6 buah motosikal yang dinaiki oleh 12 lelaki dalam keadaan mencurigakan dari arah sempadan Malaysia menuju ke Indonesia melalui kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dibuat, kesemua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,
“Semua lelaki tersebut telah ditahan dan diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Lundu untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM21,582 melibatkan 6 motosikal, wang tunai dan 8 unit telefon bimbit.
Dalam masa yang sama, Markas 1 Div menjelaskan, pihaknya akan terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
“Ia juga bagi memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak COVID-19,” jelas kenyataan itu. -airtimes.my