KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) merayu agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Shah untuk memberi pengampunan Diraja kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya, Syed Muhamad Imran S.N Syed Abdul Aziz berkata, pihaknya juga memohon agar Baginda melantik Najib sebagai Perdana Menteri Intrem bagi menggantikan pihak pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada hari ini.
“Kami mencadangkan supaya Seri Paduka Baginda Tuanku dapat memberikan Pengampunan Diraja khusus kepada Orang Besar Berempat Negeri Pahang Yang Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak daripada apa jua tindakan mahkamah baik yang sedang berlangsung ataupun yang telah dijatuhi hukuman bersalah ke atas beliau,
“Ini merupakan satu peluang untuk menyelamatkan rakyat Malaysia yang kini sedang dilanda wabak COVID-19. Datuk Seri Najib mempunyai 2 kriteria iaitu kepercayaan oleh Tuanku dan pengalaman beliau sebagai bekas Perdana Menteri untuk mentadbir kembali negara,
“Saya lihat kebanyakan rakyat Malaysia mahukan Datuk Seri Najib kembali mentadbir negara, saya mohon kepada Tuanku sekiranya ada kekhilafan yang berlaku terhadap Datuk Seri Najib ia dapat diampunkan serta dimaafkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Pintu 3 Istana Negara, hari ini.
Syed berkata, sekiranya Najib menjadi Perdana Menteri Intrem dan keputusan mahkamah akan mengambil masa lebih satu bulan, pasti ada suara-suara sumbang yang menyatakan beliau mencampuri urusan mahkamah sekiranya keputusan memihak kepadanya.
“Kami mahu Najib mentadbir negara ini secara baik, aman tanpa ada gangu gugat dari sesiapa,
“Permohonan pengampunan diraja tersebut bermaksud selagi Najib belum dijatuhkan hukuman bersalah, ia merupakan restu dari Yang-di-Pertuan Agong untuk Najib boleh menjadi Perdana Menteri Intrem,
“Pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim lain, pengampunan Najib ini lain,
“Jika Datuk Seri Najib dibenarkan menjadi perdana menteri intrem, beliau akan membuktikan peluang untuk membantu kerajaan dalam tempoh 6 bulan tersebut,
“Selepas itu terpulang pada rakyat untuk memilih siapa bakal menjadi perdana menteri pada PRU15 nanti,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Syed berkata, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah gagal mendapatkan sokongan majoriti Ahli Parlimen negara ini sekaligus ia membuktikan kegagalannya dalam menangani isu politik tanah air.
“Rakyat memerlukan perdana menteri yang baharu kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang hilang 14 kerusi Ahli Parlimen,
“Tan Sri Muhyiddin telah hilang majoriti untuk menjadi Perdana Menteri, dan persoalannya sekarang bagaimana beliau masih boleh menjadi perdana menteri,
“Kes COVID-19 semakin hari semakin meningkat, ia membuktikan Muhyiddin telah gagal dalam pengurusan kesihatan rakyat menangani isu peningkatan jangkitan wabak COVID-19 dalam negara ini,” tambahnya. -airtimes.my