KUALA LUMPUR, 17 Mei – McDonald’s Malaysia sekali lagi tampil menegaskan tidak pernah terlibat dengan sebarang agenda yang menyokong Israel.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, penjelasan berhubung isu ini telahpun diterima baik oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), MYCARE, Aqsa Syarif, Palestine Centre of Excellence dan Viva Palestina Malaysia.
Beliau berkata, McDonald’s Malaysia (Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd) telah diambil alih sepenuhnya oleh syarikat Reza Group dari Arab Saudi bersama seorang rakan niaga tempatan sejak 2017, yang mana ekuiti syarikat kami dimiliki oleh mereka yang beragama Islam.
“Sebagai sebuah syarikat tempatan, kami ingin menegaskan bahawa McDonald’s Malaysia tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, McDonald’s Malaysia sedar akan kewujudan mesej WhatsApp yang tular berkenaan pemboikotan jenama kami.
“Pihak McDonald’s Malaysia ingin menjelaskan bahawa pemboikotan ini adalah tidak berasas dan kenyataan tentang jenama kami menyalurkan bantuan kepada pihak Israel adalah suatu pembohongan dan fitnah,” ujarnya.
Menurut Azmir, pada tahun 2017, pihaknya telah menjelaskan pendirian mengenai isu ini dan kenyataan tersebut telah dikongsi secara meluas oleh orang ramai menerusi mesej WhatsApp mereka.
“Secara khusus, pihak McDonald’s Malaysia telah membuat laporan polis terhadap individu dan kumpulan yang membuat dakwaan palsu dan menyebarkan mesej tidak berasas melalui platform media sosial dan saluran lain untuk memboikot McDonald’s di Malaysia,
“Hal ini juga telah dimaklumkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat tindakan lanjut terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut,
“Kami juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi melindungi hak-hak dan kepentingan syarikat kami serta lebih 15,000 warga tempatan yang bekerja dengan kami,” tegasnya. – airtimes.my