Kuala Lumpur: Kepulangan yang dinanti. Selepas 63 tahun dikebumikan di negara orang, akhirnya jasad 26 tentera New Zealand dan seorang ahli keluarga yang dikebumikan di tiga tanah Perkuburan Perang Komanwel (CWG) akan diterbangkan untuk disemadikan di negara terbabit menerusi Op Te Auraki (The Return) esok.
Pembabitan tentera New Zealand di Malaya bermula era Perang Dunia Kedua melalui mobilisasi Tentera Udara Diraja New Zealand (RNZAF) di bawah No 488 Skuadron RNZAF membabitkan pesawat Hudson dan Brewster Buffalo.
Mereka yang terkorban kebanyakan adalah Tentera Darat New Zealand dari Batalion Pertama, Rejimen Infantri Diraja New Zealand di bawah formasi Briged ke-28 Komanwel Infantri British di Kem Terendak, Melaka di mana pasukan itu beroperasi di Perak sehingga tamat darurat pada 31 Julai 1960.
Penasihat Pertahanan New Zealand Kepten Rodger Ward berkata, pelaksanaan Op Te Auraki adalah kerjasama kerajaan Malaysia melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan New Zealand untuk membawa pulang 26 rangka anggota Tentera New Zealand dan seorang kanak-kanak yang dikebumikan di negara ini antara 1955 dan 1971.
“Sewaktu era darurat, Angkatan Darat New Zealand beroperasi di bawah Briged Komanwel Infantri British dan terbabit dalam operasi keselamatan sempadan Malaysia-Thailand serta konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1966.
“Terima kasih kami ucapkan kepada kerajaan Malaysia yang memberi kerjasama dalam melaksanakan misi penting terutama kepada keluarga yang begitu mengharap ‘kepulangan’ orang tersayang,” katanya ketika ditemui dalam wawancara khas di Kem Wardieburn di sini.
Ward berkata, pada April 2017 kerajaan New Zealand menawarkan kepada waris yang anggota keluarga dikebumikan di luar negara sejak 1 Januari 1955 dibawa pulang ke negara itu atas pembiayaan hasil sumbangan orang ramai.
“Projek di bawah kendalian New Zealand Defence Force (NZDF) ini kami namakan Te Auraki yang bermaksud The Return berdasarkan maklumat rekod peribadi tentera atau keluarga yang terkorban dan dikebumi di Malaysia diberikan keluarga serta rekod perkhidmatan tentera dari fail NZDF.
“Berdasarkan gambaran ini, NZDF merumuskan 36 anggota tentera dan ahli keluarga dari enam negara akan dibawa pulang untuk dikebumikan iaitu tiga dari Fiji, satu Samoa, 27 Malaysia, satu Singapura, dua United Kingdom dan dua dari Korea,” katanya.
Katanya, berdasarkan tradisi masyarakat Mauri, apabila meninggal dunia jasad mereka perlu dikembalikan ke tanah asal untuk dikebumikan.
“Walaupun Malaysia sudah ‘menjaga’ mereka dengan baik selama 63 tahun namun di sini (Malaysia) bukan tempat asal mereka, ini antara penyebab utama kami melakukan misi membawa pulang jasad berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Pergigian Forensik, Perkhidmatan Pergigian Angkatan Tentera Malaysia (PPATM) Mejar Jeneral Datuk Dr Mohd Ilham Haron berkata, Op Te Auraki ini membawa kepada satu kolaborasi rentas sempadan dan disiplin membabitkan pakar tempatan dan New Zealand membabitkan pakar forensik arkeologi, radiologi, antropologi dan forensik odontologi daripada dua negara.
“Ini platform bagi kedua-dua negara mempelajari teknik dan ilmu kepakaran yang bersandarkan protokol antarabangsa dalam melaksanakan misi penggalian rangka manusia dalam proses analisa forensik bagi mengenal pasti identiti mangsa.
“Tiga lokasi penggalian iaitu di Perkuburan Perang Tentera Kem Terendak, Melaka, Perkuburan Perang Komanwel di Cheras dan Perkuburan Kristian Kamunting dengan melakukan kerja geofizik bagi mengesan kewujudan rangka manusia sebelum proses penggalian dijalankan.
“Semua rangka manusia ini akan melalui proses ‘mengkatalog bukti’ sebelum diserahkan ke Pusat Pengecaman Mangsa bertempat di Rejimen ke-3 Kor Polis Tentera Diraja, Kem Terendak, Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Taiping,” katanya.
Katanya, proses pengecaman jasad dilakukan pakar antropologi, radiologi dan odontologi terdiri gabungan pakar daripada dua negara iaitu ATM dan NZDF selain pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia serta Kementerian Pengajian Tinggi dan Muzium Tentera Darat.
“Kejayaan proses pengecaman secara bersama ini satu pengiktirafan kepada kemampuan sebenar gabungan pakar forensik daripada Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana Malaysia dan kesediaan Kementerian Pertahanan untuk memperkasakan bidang forensik arkeologi dan pakar forensik melalui inisiatif Agensi Memorial Perang Malaysia bagi menghadapi kemungkinan senario masa depan,” katanya.
Menurutnya, melalui rekod perkhidmatan mangsa dan ahli keluarga, pasukan mereka akan berbincang untuk mengenalpasti jasad berkenaan selepas melalui proses identification board.
“Hasilnya, 27 jasad ini berjaya dikenal pasti tanpa keraguan membabitkan pakar dari dua negara dalam bidang masing-masing,” katanya.
Menurutnya, semua keranda yang dibalut bendera New Zealand akan dibawa ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) esok menggunakan 27 kenderaan jenazah untuk upacara serahan secara rasmi oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan New Zealand sebelum diterbangkan ke negara terbabit.
-Harian Metro