KUALA LUMPUR, 30 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 231 individu kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi operasi pematuhan di seluruh negara, semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 225 individu telah dikenakan kompaun manakala 6 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (63), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (4),
“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 44,822 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Operasi Benteng (Op Benteng) dilaksanakan secara bersepadu membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) telah menahan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas 10 buah kenderaan darat.
“Sebanyak 110 sekatan jalan raya (SJR) telah dilaksanakan semalam yang melibatkan Op Penawar dari ATM, PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sebanyak 39 SJR, Op Benteng PDRM (62) serta Op Benteng AKSEM (9),
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan di kawasan sempadan terutamanya di lorong tikus,” ujarnya. – airtimes.my