Ankara, 19 Apr – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan semalam mengisytiharkan tarikh pilihan raya negara itu pada 24 Jun ini, setahun setengah lebih awal daripada dijadualkan sekali gus mempercepatkan peralihan kepada sistem baharu, dibimbangi pengkritik mengukuhkan lagi pemerintahan diktator.
Pengumuman beliau, yang memerintah negara itu sejak 2003, mengubah tarikh politik di Turki yang dijangka mengundi dalam pilihan raya serentak Presiden dan Parlimen pada 3 November 2019.
Pilihan raya itu terutama penting berikutan jawatan Presiden Eksekutif baharu, dipersetujui dalam satu pungutan suara 2017 namun dikecam pembangkang, memberi presiden kuasa mutlak berkuat kuasa serta merta.
Penganalisis berkata, Erdogan mengambil kesempatan meraih undian majoriti berikutan peningkatan sentimen nasionalis, ketika Turki meningkatkan operasi di Syria sebelum masa sukar ekonomi berlaku.
Tarikh baharu itu bermaksud Turki juga akan mengundi dalam perintah darurat, dilaksanakan sejak 15 Julai 2016 dalam rampasan gagal menyasar menyingkirkan Erdogan. Parlimen Turki semalam meluluskan perintah darurat dilanjutkan kepada tiga bulan lagi.
Selasa lalu, sekutu Erdogan, ketua Parti Pergerakan Nasionalis (MHP), Devlet Bahceli mengejutkan pemerhati politik Turki dengan menggesa kerajaan tidak menunggu November 2019 dan memanggil pilihan raya lebih awal.
“Hasil perbincangan dengan Bahceli, kami memutuskan untuk mengadakan pilihan raya pada 24 Jun 2018, jatuh pada Ahad,” kata Erdogan di istananya selepas bertemu pemimpin MHP.
Parti Islam pimpinan Erdogan, Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP), mewujudkan pakatan rasmi dengan MHP untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya dengan harapan menyapu bersih undian konservatif.
Erdogan sebelum ini menegaskan, tiada pilihan raya awal namun beberapa minggu lalu melakukan jelajah seluruh negara dengan ucapan ala kempen, menambah spekulasi pilihan raya semakin hampir.