KUALA LUMPUR, 23 Feb – Kerajaan Malaysia digesa mempertimbangkan semula keputusan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar kerana tindakan tersebut mampu mengesahkan dan mengiktiraf tentera di negara tersebut.
Majlis Presiden (PH) dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini berkata, tindakan menghantar pulang pelarian ke zon konflik sebelum keadaan benar-benar stabil dan selamat mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.
“Majlis Presiden PH mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah mengarahkan penghantaran pulang 1,200 warga Myanmar ditangguhkan selama 2 hari. Walau bagaimanapun, keputusan ini tidak menghalang kerajaan Malaysia dari meneruskan tindakan menghantar pulang ini setelah tamat tempoh tersebut,
“Kemungkinan terdapat sejumlah kanak-kanak dari kalangan 1,200 warga Myanmar ini yang bakal dihantar pulang dan dipisahkan dari ibu bapa mereka,
“Jika benar, ini adalah satu keadaan yang membinmbangkan dan memohon agar pihak berkuasa dengan kerjasama UCHCR segera mengesahkan sama ada perkara ini adalah benar atau tidak,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut menggesa kerajaan Malaysia untuk memulakan dialog di negara pemimpin-pemimpin ASEAN dan Myanmar untuk menghentikan kekerasan terhadap petunjuk perasaan serta membebaskan semua tahanan politik.
Selain itu, dialog tersebut juga perlu untuk mengembalikan demokrasi dan institusi Parlimen di Myanmar.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mengesahkan, seramai 1,200 warga Myanmar akan dihantar pulang pada 23 Februari 2021 dengan menggunakan kapal tentera negara terbabit.
Beliau berkata, proses penghantaran pulang warga Myanmar tersebut tidak membabitkan pemegang kad UNHCR atau etnik Rohingya.
Namun, kumpulan hak asasi mempersoalkan kebenaran dakwaan tersebut. – airtimes.my