KUALA LUMPUR, 29 OKT – Abdul Rani Kulup Abdullah menyeru seluruh bekas tentera di Malaysia agar bersatu di bawah satu payung muafakat untuk memperkukuhkan kebajikan dan suara dalam masyarakat.
Menurut Rani Kulup yang juga veteran, penyatuan ini merupakan langkah penting bagi membawa perubahan positif, terutama dalam memperjuangkan hak dan kepentingan komuniti bekas tentara yang berkhidmat seawal tahun 1933.
“Apa yang saya lihat, veteran ATM ini berpecah-pecah, berpuak-puak. Daripada puak besar ke sederhana besar dan kemudian menjadi semakin kecil. Apabila kita berpecah, orang nampak sikit-sikit lah. Nampak sikit-sikit tu lah suara kita tak didengar. Kita desak lah macam mana pun tak kuat,” kata Rani Kulup pada Isnin.
Menurutnya, keadaan ini bukan sahaja melemahkan kekuatan komuniti veteran secara keseluruhan namun turut menyukarkan usaha menangani isu-isu yang telah berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Abdul Rani Kulup Abdullah (tengah) bersama wakil veteran tentera daripada pelbagai persatuan bekas tentera yang menyatakan sokongan penuh terhadap seruan penyatuan kesemua cabang kesatuan ATM. Foto: AirTimes/Shahrul
Dalam perkembangan sama, Presiden Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar Razali Zakaria (Bersara) turut menyokong seruan tersebut dan menekankan bahawa setakat ini terdapat lebih daripada 114 kumpulan veteran yang terpisah mengikut cabang ketenteraan dan unit masing-masing.
“Solidariti dalam pesara ATM langsung tak ada. Kita ada lebih 114 kumpulan dalam veteran. Ini yang terbanyak dalam alam semesta (universe), bukan dalam dunia dah. Ahli parlimen pun ada lapan sahaja”, katanya berseloroh.
Ujar Razali, tanpa penyatuan, usaha untuk menarik perhatian kerajaan dan pihak berkuasa terhadap kebajikan sebenar para veteran menjadi semakin sukar.
Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa inisiatif ini mungkin berkait dengan politik, Mejar Abu Taib Wirid (Bersara) menegaskan, usaha penyatuan ini adalah semata-mata untuk menjaga kebajikan veteran ATM dan bukan sebaliknya.
Beliau berkata demikian semasa majlis wawancara yang turut dihadiri oleh wakil daripada pelbagai persatuan bekas tentera dan veteran yang menyatakan sokongan penuh terhadap seruan penyatuan ini, semalam.
Mengulas lanjut, Rani menegaskan para veteran tidak berencana untuk menarik diri daripada terus menuntut pelarasan pencen bagi seramai 78,546 orang daripada jumlah keseluruhan 134,682 bekas tentera yang tamat perkhidmatan sebelum 1 Januari 2013.
Tegas mereka, pelarasan ini adalah hak yang perlu diberikan untuk memastikan kebajikan Veteran yang berkhidmat sebelum tempoh tersebut mendapat perhatian yang sewajarnya daripada kerajaan. -airtimes.my.
#AirTimes #ATM #PelarasanPencen #Malaysia