ALOR SETAR, 6 Jan – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA ’19) pada Mac ini akan memberi fokus kepada penggunaan pesawat tanpa pemandu (UAV) dan elemen peperangan siber yang kini menjadi keutamaan dalam sektor pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata penggunaan UAV dan perkembangan dunia siber kini menjadi tumpuan para pemain industri pertahanan global. Justeru, pihak beliau yakin banyak syarikat baharu akan mempamerkan keupayaan masing-masing dalam bidang itu pada LIMA ’19 kelak.
“Kerajaan akan melakukan rundingan bersama syarikat dan pempamer di LIMA ’19 yang memfokuskan terhadap aspek pertahanan siber ini sebelum teknologi itu boleh diaplikasikan dalam perairan negara,” kata Mohamad.
“Syarikat-syarikat baharu akan mempamerkan penghasilan mereka sama ada bagi segmen maritim atau udara.
“Pada LIMA ’19 kali ini, misalnya dari Turki yang kita tahu mereka sekarang sedang mempelopori industri pertahanan moden berbanding negara lain.
“Cuma dunia pertahanan hari ini telah ke arah UAV dan perperangan siber. Saya yakin syarikat-syarikat baharu itu akan berlumba-lumba untuk mempamerkan kehebatan mereka dalam bidang berkenaan. Malaysia juga akan meningkatkan sistem itu pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa menziarahi keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini hari ini.
LIMA ’19 yang memasuki edisi ke-15 akan berlangsung di Pulau Langkawi pada 26 Mac hingga 30 Mac ini dijangka menarik sekurang-kurang 600 syarikat pempamer membabitkan 14 negara.
“Memang perbelanjaannya berkurangan berbanding penganjuran edisi-edisi terdahulu tetapi saya yakin akan dapat dilaksanakan dengan lebih hebat dan meriah, malah akan ada aset-aset baharu dipamerkan,” ujarnya lagi.