MERSING, 21 Feb – Seramai 8 orang pemancing ditemui selamat selepas bot pancing mereka karam di perairan Rompin, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat kecemasan melalui talian MERS 999 daripada salah seorang mangsa.
“Mangsa melaporkan bot pancing yang dinaikinya bersama 7 orang lagi telah karam di kawasan beting berhampiran Pulau Seri Buat dan Pulau Tasu sekitar jam 9.35 malam,
“Kesemua mangsa lelaki merupakan rakyat tempatan berumur antara 27 hingga 56 tahun,
“Mereka memaklumkan telah berpaut pada bot dan memakai jaket keselamatan sementara menanti bantuan tiba,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut Nurul Hizam, Operasi Carilamat telah diaktifkan pada jam 9.50 malam melibatkan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) bersama komuniti nelayan setempat.
“Sekitar jam 11.20 malam, kesemua 8 mangsa berjaya ditemui oleh sebuah bot fiber yang melalui kawasan kejadian,
“Kesemua mangsa selamat tiba di Jeti Awam Penyabong pada jam 11.50 malam,” ujarnya.
Katanya, punca kejadian dipercayai berlaku kebocoran pada eksoz bot dan menyebabkan air masuk ke dalam bot sehingga luar kawalan. – airtimes.my