PASIR MAS, 21 Feb – Batalion ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) menutup pengkalan haram yang terdiri daripada pengkalan Pak Nik, Jitong, Bukit Lata dan Pohon Setol di sekitar Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah di sini, dalam Op Mundok.
Pegawai Gerakan PGA9 ASP Mohd Azlee Ismail berkata Op Mundok yang bermula hari ini bertujuan mencegah pergerakan orang awam dari Malaysia ke negara jiran tanpa melalui pintu sempadan yang dibenarkan.
Beliau berkata usaha menghalang pergerakan keluar masuk dalam negara tanpa menggunakan laluan yang sah ditingkatkan lagi sejak kebelakangan ini susulan penularan kluster COVID-19 dalam negara.
“Dengan operasi ini, kesemua laluan ke pangkalan itu sudah ditutup dan orang awam tidak dibenarkan menyeberang ke negara jiran menggunakan bot dan perahu tambang,” katanya kepada pemberita di pengkalan haram Pak Nik di Bukit Lata di sini, hari ini.
Beliau berkata antara tindakan yang diambil sempena Op Mundok termasuklah meletakkan kon di semua laluan ke tempat meletak kenderaan dan menasihatkan pengunjung supaya tidak sesekali menyeberangi sempadan melalui laluan tidak sah.
Katanya 16 pegawai dan anggota PGA9 dikerah untuk memantau keadaan di kawasan pengkalan haram itu dengan dibantu oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubur, Tumpat dalam operasi berkenaan.
“Bermula pukul 11 pagi sehingga 7.00 petang hari ini, kita akan membuat pemantauan di keempat-empat pengkalan haram itu dan jika ada individu yang masih berdegil untuk ke negara jiran tanpa melalui pintu masuk yang sah, mereka boleh ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Pekan Mundok di sebelah Thailand biasanya menjadi tumpuan pengunjung pada setiap Selasa dan Jumaat kerana penganjuran ‘hari nat’ iaitu pasar pagi berskala besar.
Jumlah pengunjung dikatakan semakin ramai pada musim cuti persekolahan apabila pelancong dari luar Kelantan mengambil kesempatan membeli-belah di sana. – Bernama